suria

Penutur Bahasa Inggeris Di Malaysia Yang Terbaik Di Asia

PETALING JAYA: Malaysia dilihat mempunyai kemahiran bertutur bahasa Inggeris terbaik di Asia, menewaskan Singapura, India, Sri Lanka, Taiwan, China dan Kazakhstan - menurut sekolah bahasa Inggeris yang berpangkalan di Singapura.

Sekolah berkenaan, Education First yang mengeluarkan hasil Indeks Kemahiran Bahasa Inggeris di laman web mereka pada Rabu, meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai tahap kecekapan Bahasa Inggeris tertinggi dari 13 negara di Asia.

Pada skala global, Malaysia berada di kedudukan ke-11 dari 60 buah negara, dengan empat dari lima slot teratas diduduki negara-negara Scandinavia, yang mana Sweden dan Norway mengambil dua tempat teratas dan Malaysia mengatasi Singapura, Belgium, Jerman, Latvia dan Switzerland - negara yang masing-masing berada di kedudukan ke-12, 13, 14, 15 dan 16.

Di laman web berkenaan, sekolah itu berkata didapati beberapa negara Asia khususnya Indonesia dan Vietnam, telah mengubah penguasaan Bahasa Inggeris mereka sepanjang tempoh 2007-2012.

"China juga telah bertambah baik, walaupun kurang dramatik. Jepun dan Korea Selatan, walaupun dengan pelaburan swasta yang besar, telah menurun sedikit.

"Kemahiran bahasa Inggeris semakin baik di negara-negara BRIC (Brazil, Rusia, India dan China).

"Tahun ini, India dan Rusia telah maju ke hadapan China dan Brazil mengekori rapat," kata Education First.

Sekolah ini juga mendapati Indeks yang diperolehi di negara Timur Tengah dan Afrika Utara menunjukkan ia merupakan kawasan dengan tahap penguasaan bahasa Inggeris yang lemah.

Mengenai mekanik Indeks, sekolah itu berkata Indeks tersebut dikira dengan mengukur tahap kemahiran Bahasa Inggeris orang dewasa negara itu secara purata menggunakan data dari dua ujian Education First.

"Satu ujian adalah terbuka kepada mana-mana pengguna Internet secara percuma. Yang kedua adalah ujian penempatan 70 soalan dalam talian yang digunakan oleh EF semasa proses pendaftaran pelajar sebelum memulakan kursus Bahasa Inggeris. Kedua-dua termasuk tatabahasa, perbendaharaan kata, membaca, dan sesi mendengar," katanya.

Artikel Lain