suria

Kekecohan Berhubung Setem Promosi Kementerian Pelancongan Selesai

KUALA LUMPUR: Pereka setem pos untuk promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 Kementerian Pelancongan telah mencapai penyelesaian dengan jurufoto yang menjadi pemilik gambar yang digunakan dalam deraf setem berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia (Perancangan) Datuk Azizan Noordin memberitahu Bernama hari ini bahawa Kementerian Pelancongan akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkenaan minggu depan untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung isu itu dan menyelesaikan semua perkara mengenainya.

"Kami dimaklumkan bahawa pereka terbabit telah berjumpa dan menyelesaikan perkara berkenaan dengan jurufoto itu dan kami akan mengadakan mesyuarat dengan semua pihak yang terlibat, termasuk Pos Malaysia, pereka berkenaan dan perunding bagi setem promosi itu," katanya apabila ditemui selepas pelancaran edisi ketujuh 'A Journey Through Time' di Galeri Starhill di sini, Khamis.

Azizan berkata projek setem promosi itu dikendalikan sebuah syarikat reka bentuk dan perunding, dan belum diserahkan kepada kementerian berkenaan.

Bagaimanapun, usaha Bernama untuk menghubungi syarikat perunding terbabit tidak berhasil.

Minggu lepas, akhbar The Malay Mail melaporkan poster promosi Pos Malaysia dalam bentuk siri setem promosi Tourism Malaysia mengenai burung mencetuskan kekecohan apabila seorang jurufoto Filipina mendakwa satu daripada karyanya digunakan tanpa kebenaran.

Menurut akhbar itu, keadaan menjadi lebih kecoh apabila Romy Ocon mendakwa beliau mendapati gambar burung berkenaan yang serupa dengan gambar yang diambilnya, diberi label yang salah dan sekali gus menambahkan lagi kekejian perbuatan mencuri harta intelek. - BERNAMA

Artikel Lain