suria

Empat Lelaki Didakwa Larikan 15 Unit Transformer

KLANG: Empat lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan melarikan 15 unit transformer, bulan lepas.

Dua beradik berkenaan, M. Karthigan, 28, dan M. Saranraj, 24, bersama S. Sathiamurthi, 34, dan K. Suren, 27, didakwa bersama dua lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan parang ke atas mangsa, Stefanus Idang.

Mereka didakwa melarikan 15 unit transformer dan dua treler di pekarangan syarikat GS Express Sdn Bhd di Jalan Ikan Bawal, Telok Gong, Pandamaran, Klang, pukul 2.15 pagi, 29 Oktober lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Hakim Tasnim Abu Bakar membenarkan setiap tertuduh dijamin RM10,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sharul Eksan meminta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan kepada kesemua tertuduh kerana mereka melakukan kesalahan serius.

Bagaimanapun peguam Gerard Lazarus, yang mewakili kedua-dua beradik itu yang berasal dari Taman Sri Muda, Shah Alam serta Suren dari Taman Bayu Perdana, Klang, memohon mahkamah memberikan jaminan kerana mereka tiada rekod kesalahan lampau.

Sementara itu, peguam yang mewakili Sathiamurthi, S. Selvam pula berkata anak guamnya yang berasal dari Taman Kota Pendamar, Pelabuhan Klang merupakan penanggung tunggal keluarga dengan mempunyai tiga orang anak dan isterinya kini hamil lapan bulan. - BERNAMA

Artikel Lain