Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) menghadiri Mesyuarat Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) Ke-14 di Parlimen, di Kuala Lumpur, Rabu. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (empat, kanan). -fotoBERNAMAKUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu melancarkan Buku Pelaksanaan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia, menyasarkan penduduk Iskandar Malaysia menikmati kualiti hidup lebih baik dengan penggunaan tenaga lebih efisien pada tahun 2015.Menggariskan 10 program utama dalam memberi nafas baharu kepada wilayah itu, buku itu antara lain memuatkan program pengangkutan bersepadu mesra alam-sistem pengurusan bergerak Iskandar Malaysia, garis panduan ekonomi hijau dan projek cabaran eko-kehidupan untuk sekolah-sekolah. Selain itu, ia turut memuatkan program portal untuk teknologi hijau, pohon-pohon untuk taman dan hutan bandar, pelancongan bertanggungjawab dan pemulihan biodivesiti, eko-komuniti Bukit Batu dan anugerah inisiatif permuafakatan hijau (GAIA) dan 'comprehensive assessment system for built environment efficiency (CASBEE), iaitu sistem pengurusan bangunan hijau di Jepun.Buku yang merangkumi kempen kesedaran serta aktiviti melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk golongan pelajar, pertubuhan masyarakat, agensi awam dan badan swasta itu turut melibatkan program menjadikan Felda Taib Andak sebagai Kampung Rendah Karbon dan Pasir Gudang sebagai bandar pintar, bersih dan sihat.Pelancaran turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim.Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan iskandar.my, aplikasi untuk peranti mudah alih yang dibangunkan IRDA sebagai panduan perjalanan pelawat ke Iskandar Malaysia.Menggunakan teknologi 'argument reality' (AR), aplikasi iskandar.my menyediakan cadangan perjalanan di Iskandar Malaysia, menyerlahkan acara dan tarikan tempatan serta memandu pelancong menyusuri Jejak Warisan.Mengikut siaran media IRDA, aplikasi telefon pintar iskandar.my boleh didapati di Apple App Store bermula hari ini dan di Google Play Store akhir bulan ini.Sementara itu, Mohamed Khaled dalam sidang media, berkata buku itu juga akan dibentangkan di Persidangan Perubahan Iklim di Warsaw, Poland hujung bulan ini.Beliau berkata, buku itu juga merupakan antara usaha dan komitmen Malaysia dalam menyokong usaha menangani ancaman alam sekitar yang berpunca daripada pelepasan karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020."Perdana Menteri turut mengalu-alukan inisiatif yang diambil dan pelancaran buku ini membuktikan kerajaan negeri menyokong segala usaha yang dilakukan kerajaan dalam menangani masalah pelepasan karbon," katanya. - BERNAMA