suria

Peruntukan RM88 Juta Untuk Kurangkan Jurang Pendapatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM88 juta telah diperuntuk bagi melaksanakan pelbagai peningkatan keupayaan dan kebolehan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dalam tempoh 2011 hingga kini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata inisiatif yang bertujuan mengurangkan jurang pendapatan di kalangan rakyat dipercayai mampu meningkatkan kelayakan dan kemahiran kumpulan sasar sekaligus menjadikan mereka lebih mudah untuk mendapatkan pekerjaan bergaji lebih tinggi.

"Sehingga tahun 2012, seramai 2,494 orang peserta daripada isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah telah diberi manfaat itu.

"Daripada jumlah itu, seramai 2,430 peserta telah menamatkan latihan dan 1,140 orang daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan, manakala 837 orang lagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) yang mahu tahu mengenai langkah yang telah diambil oleh kerajaan bagi mengurangkan Indeks Gini di negara ini.

Indeks Gini merupakan satu daripada indikator yang digunakan untuk mengukur tahap ketidaksamaan agihan pendapatan dalam masyarakat.

Razali berkata antara program yang dilaksanakan ialah agropolitan dan peladangan kontrak, galakan aktiviti perniagaan dan keusahawanan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), pemberian pinjaman di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), selain tumpuan kepada keperluan sasar khusus seperti masyarakat Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

"Bagi masyarakat Orang Asli, program pembangunan dan pemilikan tanah pertanian dilaksanakan dan seramai 23,390 peserta Bumiputera di Sabah dan Sarawak dijangka mendapat manfaat daripada pelbagai projek ekonomi, pembangunan tanah adat (NCR), pendidikan dan pembangunan infrastruktur dengan peruntukan RM40.8 juta," katanya.

Beliau berkata bantuan turut diberikan kepada penduduk di kampung baharu Cina dan pekerja-pekerja estet termasuk bantuan pembiayaan bagi memperbaharui tempoh pajakan, membaiki rumah serta bantuan modal untuk memulakan perniagaan.

Katanya, pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan juga telah berjaya mengurangkan pekali Gini keseluruhan daripada 0.441 pada tahun 2009 kepada 0.431 pada tahun 2012 yang menunjukkan ketaksamaan pendapatan yang semakin bertambah baik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain