suria

Melaka Kaji Semula Syarat Pemilikan Harta Warga Asing - Idris Haron

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka akan mengkaji semula syarat pemilikan harta bagi warga asing di negeri ini dalam usaha menambah pemilikan harta di kalangan warga tempatan terutamanya anak Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata cadangan utama yang akan dilihat dalam kajian semula itu ialah menaikkan nilai harta yang dibenarkan untuk dimiliki warga asing daripada lebih RM250,000 pada masa sekarang kepada lebih RM500,000.

Katanya, syarat pemilikan harta yang akan dinilai semula itu melibatkan pelbagai sektor antaranya pertanian seperti tanah dengan luas melebihi 1.6 hektar, perindustrian seperti kilang dan perumahan.

"Sekiranya kita lihat tukaran wang asing RM250,000 itu kira-kira SGD97,000 sahaja agak murah bagi rakyat Singapura hartanah dengan harga begitu...jadi ramai warga Singapura beli rumah di Melaka...sampai harga jadi meningkat dan orang Melaka susah beli rumah.

"Melaka tidak menghalang warga asing memiliki harta malah menggalakkan mereka supaya pelaburan asing sentiasa bertambah...kita lakukan ini supaya lebih ramai orang tempatan khususnya (rakyat) Melaka memiliki harta di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, Rabu.

Justeru, Idris berkata kajian semula itu akan dilakukan dengan teliti supaya syarat yang akan ditetapkan nanti tidak menghalang malah menggalakan pelaburan asing ke negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri mungkin akan mempertimbang pelantikan dua anggota exco dari kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada MCA melalui kaedah satu tambah satu - melantik seorang dahulu kemudian baharu melantik seorang lagi.

Bagaimanapun katanya sehingga kini MCA masih belum memberikan surat rasmi tentang kesediaan parti itu menerima jawatan itu atau mengadakan pertemuan dengan beliau untuk membincangkan perkara tersebut.

"Pertemuan dan berbincang secara tidak rasmi itu sudah banyak kali terutama dengan pengerusi (MCA) negeri (Datuk Gan Tian Loo) kerana kita amat rapat dengan MCA, namun secara rasmi belum lagi," katanya.

Pada 20 Oktober lepas, mesyuarat agung luar biasa MCA meluluskan resolusi membenarkan anggota parti itu menerima pelantikan jawatan peringkat kerajaan negeri.

Melaka mempunyai tiga Adun MCA iaitu Datuk Lai Meng Chong (Machap), Datuk Ng Choon Koon (Bemban) dan Lim Ban Hong (Klebang). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain