suria

Kes Demam Denggi Melonjak Tahun Ini - Dr Subramaniam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 29,754 kes demam denggi telah dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 2 November tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, Rabu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata jumlah kes demam denggi pada tahun ini menunjukkan peningkatan kira-kira 10,000 kes berbanding tahun 2012 yang mencatat jumlah sebanyak 18,268 kes.

"Daripada jumlah kes demam denggi yang dilaporkan di seluruh negara, Selangor mencatat jumlah kes paling tinggi iaitu kira-kira 15,000 kes dilaporkan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) yang ingin tahu jumlah terbaharu kes demam denggi yang dilaporkan di seluruh negara dan langkah-langkah bagi mengatasi masalah pembiakan nyamuk Aedes.

Kata Subramaniam, perubahan iklim di negara ini merupakan antara faktor yang menyebabkan peningkatan kes demam denggi.

"Setakat ini langkah yang paling berkesan untuk mengurangkan kes demam denggi ialah menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes dalam air jernih bertakung yang ada berkaitan dengan musim hujan.

"Selain itu, kerjasama daripada semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), wakil-wakil rakyat tempatan, serta klinik-klinik kesihatan juga sangat penting dalam memastikan tempat-tempat pembiakan nyamuk dihapuskan dan memberi kesedaran kepada masyarakat setempat tentang bahayanya nyamuk Aedes dalam membawa kepada virus demam denggi," katanya.

Berkenaan status projek 'Genetic Aedes Mosquito' (GAM) yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan, Subramaniam berkata projek itu masih dalam pertimbangan dan pihak kementerian tidak ada rancangan segera untuk menjalankan pelepasan nyamuk Aedes GAM untuk tujuan mencegah wabak denggi.

"Kos yang telah dibelanjakan untuk projek ini dari tahun 2006 sehingga tahun 2012 ialah sebanyak RM 3,146,709 yang merangkumi kos tiga fasa kajian.

"Tiga fasa tersebut iaitu fasa pertama merangkumi pengkolonian dan pembiakan nyamuk serta kajian bionomik semua peringkat peringkat kitaran hidup nyamuk Genetik Aedes; fasa kedua merangkumi pengawanan nyamuk Aedes jantan dan fasa ketiga iaitu kajian penandaan, pelepasan dan penangkapan semula nyamuk Aedes jantan yang telah dijalankan di kawasan tidak berpenghuni di Bentong, Pahang," katanya.

Katanya, fasa selanjutnya iaitu untuk membuat kajian pengurangan wabak denggi di empat zon yang telah dikenalpasti selama tiga tahun dan anggaran jumlah kos yang terlibat iaitu kira-kira RM100 juta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain