suria

Kastam KLIA Tumpas Cubaan Seludup Dadah Bernilai RM1.79 Juta

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan cubaan menyeludup dadah dengan berat keseluruhan 9.45 kilogram (kg) bernilai RM1.79 juta dalam tempoh 14 hari lepas.

Pengarahnya Datuk Chik Omar Chik Lim berkata tiga orang suspek terdiri daripada warga asing dan tempatan ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Ketiga-tiga suspek itu kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, kata Chik Omar.

"Kes pertama membabitkan warga tempatan berbangsa India berusia 25 tahun yang diberkas setelah dia cuba membawa masuk dadah jenis Methamphetamine seberat 4.65 kg bernilai RM883,500 disorok di bahagian tepi sekeliling bagasi," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Lelaki berkenaan menaiki penerbangan dari Colombo, Sri Lanka ke KLIA, 25 Oktober lalu. Dalam kes kedua, JKDM menahan seorang warga China berumur 30 tahun pada 2 November lepas setelah beliau cuba menyembunyikan dadah jenis Methamphetamine seberat 1.55 kg yang bernilai RM294,500, katanya.

"Suspek yang menaiki pesawat dari Hong Kong ke KLIA telah cuba menyembunyikan dadah berkenaan dalam satu gulungan wayar yang dimasukkan ke dalam bagasi yang diletakkan bersama pakaian.

"Apabila gulungan wayar berkenaan diperiksa, pihak JKDM menemui sebanyak dua bungkusan berbalut kertas karbon dan pita pelekat lutsinar dilekatkan pada bekas gulungan tersebut," katanya.

Dalam kes ketiga, JKDM menahan seorang warga Nigeria berumur 27 tahun pukul 10.05 malam, pada 3 November lepas kerana cubaan menyeludup dadah jenis Methamphetamine seberat 3.25 kg dengan nilai dianggarkan berjumlah RM617,500.

"Suspek itu telah menaiki penerbangan dari Abuja (Nigeria)-Addis Ababa (Ethiopia)-KLIA.

"JKDM dalam pemeriksaannya telah menemui dadah berkenaan disorok di tepi sekeliling beg miliknya," katanya.

Dalam pada itu, Chik Omar berkata JKDM, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Lumpur serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah bersama-sama bertindak memberkas tiga orang suspek warga China kerana cubaan menyeludup penyu yang telah diawet di dalam sebuah plastik dan diletakkan dalam bagasi bersama pakaian.

"Ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan itu ditahan pukul 11.30 pagi, 5 November lepas di Main Terminal Building, KLIA.

"Mereka tiba di KLIA untuk pada 9 pagi pada tarikh berkenaan dari Medan, Indonesia sebagai persinggahan transit (di KLIA) sebelum berlepas ke Guangzhou, China," katanya.

Hidupan liar tersebut telah diambil untuk dijadikan barang kes dan dalam proses siasatan mengikut Seksyen 12(a) Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) dan Seksyen 63 di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Suspek kini ditahan reman lima hari untuk siasatan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, kata Chik Omar.

Beliau berkata kesemua suspek juga boleh dituduh di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi 10 kali ganda nilai barang bagi kesalahan pertama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain