suria

Gagal Jelas Isu Setempat Antara Punca Kekalahan BN Di Kelantan Pada PRU-13

Mustapa Mohamed (kiri) beramah mesra dengan anggota parti ketika hadir pada Perhimpunan Barisan Kepimpinan Baru Umno Bahagian di Dewan Bangunan Umno Negeri di Kota Bharu pada Selasa. Foto BERNAMA
Mustapa Mohamed (kiri) beramah mesra dengan anggota parti ketika hadir pada Perhimpunan Barisan Kepimpinan Baru Umno Bahagian di Dewan Bangunan Umno Negeri di Kota Bharu pada Selasa. Foto BERNAMA
Mustapa Mohamed (kiri) beramah mesra dengan anggota parti ketika hadir pada Perhimpunan Barisan Kepimpinan Baru Umno Bahagian di Dewan Bangunan Umno Negeri di Kota Bharu pada Selasa. Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Kegagalan untuk menjelaskan isu-isu setempat dan kurangnya tokoh agama dikenal pasti antara tiga punca utama kekalahan Barisan Nasional (BN) di Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) Mei lepas.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, turut menyumbang kepada perkara itu ialah kelemahan jentera penerangan yang disifatkan kurang berkesan memainkan peranan mereka.

"Dalam post mortem kita baru-baru ini, ini tiga perkara utama yang menjadi punca BN tewas di Kelantan dan ini semua akan diperbaiki dalam persediaan menghadapi PRU-14.

"Umno Kelantan akan mengadakan persiapan lebih awal bagi menghadapi PRU-14 dan ini memerlukan semangat yang tinggi di kalangan pemimpin dan anggota Umno semua," katanya selepas berucap pada Perhimpunan Barisan Kepimpinan Baharu Umno Bahagian dan forum bertajuk 'Amanah Diberi, Tanggungjawab Digalas Menghadapi PRU-14'.

Pada PRU-13, BN berjaya memenangi 12 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan. Sebelum PRU13, BN hanya menyandang tujuh kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga yakin sekiranya isu-isu setempat berjaya disampaikan dengan sempurna, rakyat akan dapat memahami kedudukan perkara itu dengan lebih jelas, seterusnya membuat pilihan lebih tepat apabila tiba masanya.

"Antaranya isu air bersih dan isu pembalakan, jika dapat diterangkan dengan baik sudah tentu rakyat akan memahaminya...sebab itu kita memerlukan jentera penerangan yang benar-benar mantap," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mustapa berharap Umno Kelantan mampu mengubah keadaan pada PRU14 dan kembali memerintah Kelantan.

"Banyak faktor lain juga kenapa kita gagal untuk menewaskan PAS, antaranya perbalahan sesama sendiri yang tiada noktah," katanya sambil mengharapkan kepimpinan baharu Umno mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain