suria

Bayi Koma Kenderaan Dilarikan Remaja 17 Tahun Terbabit Kemalangan

Muhammad Ashraf Ikhwan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dari Hospital Dungun.
Muhammad Ashraf Ikhwan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dari Hospital Dungun.
Muhammad Ashraf Ikhwan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dari Hospital Dungun.

KUALA TERENGGANU: "Lelaki itu tahan kereta kami dan minta tolong selamatkan isteri dan anaknya, tapi bila kami cuba menolong dia larikan kereta Myvi saya bersama ibu, adik dan dua anak saudara saya".

Nur Maizura Mustafa Kamal, 18, berkata beliau memberhentikan keretanya apabila ditahan lelaki itu kerana melihat seorang bayi lelaki tercampak di atas jalan manakala seorang wanita rebah di tepi jalan selepas keluar daripada kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di jalan itu.

Menceritakan detik cemas kejadian seorang remaja lelaki berusia 17 tahun melarikan dua kereta bersama penumpang di dalamnya di sini, petang semalam, Nur Maizura berkata lelaki berkenaan menahan keretanya di Km88, Jalan Jerangau-Jabor, dekat Ladang Gajah Mati, di sini dan berpura-pura meminta pertolongan.

Beliau bersama ayahnya Mustafa Kamal Bakar, 55, keluar daripada kereta mereka dan membantu mengangkat seorang bayi lelaki yang tercampak di atas jalan.

"Ketika itulah lelaki berkenaan meluru masuk ke dalam kereta saya dan memecut laju menghala ke Kuala Terengganu bersama ibu, adik dan dua anak saudara saya di dalam kereta," katanya.

Dalam kejadian 5 petang semalam seorang remaja lelaki melarikan kereta Nissan Grand Livina bersama pasangan suami isteri dan bayi mereka di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Pantai Timur di Bukit Besi-Ajil dan merempuh sebuah kereta dan lori sebelum melarikan kereta Perodua Myvi bersama empat penumpang di dalam kereta itu.

Remaja lelaki berusia 17 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya di Batu Rakit pada pukul 7 malam dan empat penumpang di dalam kereta itu tidak cedera.

Nur Maizura berkata ketika kejadian beliau yang memandu kereta bersama anggota keluarganya dalam perjalanan dari Pekan, Pahang untuk bercuti di Air Terjun Sekayu di Hulu Terengganu dan mereka melihat kemalangan melibatkan kereta jenis Nissan Grand Livina berwarna hitam dengan sebuah lori.

Beliau yang panik dengan kejadian itu menghubungi polis bagi melaporkan insiden itu dan pada masa sama seorang pengguna jalan raya yang berhenti menyaksikan kejadian itu mengajak bapanya menaiki keretanya dan mengejar kereta yang dipandu remaja lelaki terbabit.

Sementara itu bapa bayi berkenaan, Abdul Pirhat Karim, 34, ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, berkata beliau dan isteri berasa amat takut apabila lelaki terbabit memecut laju kereta adik iparnya meninggalkan kawasan R&R itu.

"Saya terkejut tiba-tiba ada lelaki masuk ke dalam kereta dan melarikan kami sekeluarga semasa berhenti di R&R. Saya cuba pujuk dia agar tidak agresif terhadap anak dan isteri saya.

"Ketika itulah berlaku pergelutan antara kami hingga kenderaan kami terlibat dalam kemalangan. Masa itu memang takut dan isteri saya pun masih trauma," katanya yang risaukan keadaan anak sulungnya yang masih koma akibat tercampak daripada kereta dalam kemalangan itu.

Abdul Pirhat yang berkerja sebagai ejen insurans di Kuala Lumpur, berkata ketika kejadian beliau bersama adik iparnya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri pengkebumian nenek isterinya di Tumpat, Kelantan.

Beliau berkata kemalangan itu menyebabkan beliau mengalami retak bahu kiri manakala isterinya Che Mastura Che Awang, 31, patah tulang rusuk dan anak sulung mereka Muhammad Ashraf Ikhwan, sembilan bulan, koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi HSNZ. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain