suria

PRK Sungai Limau: Meskipun Tewas, PM Bangga Dengan Usaha, Semangat BN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau bangga dengan usaha dan semangat dipamerkan calon Barisan Nasional (BN) dan jentera parti dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah, meskipun tewas.

Perdana Menteri berkata, kerja keras calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan jentera parti telah berjaya mengurangkan majoriti undi yang diperoleh calon pembangkang.

Keputusan pilihan raya kecil itu menyaksikan Ahmad Sohaimi yang memperoleh 10,985 undi, tewas kepada calon PAS Mohd Azam Abd Samat dengan majoriti 1,084.

Mohd Azam mendapat 12,069 undi.

Dalam pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, Tan Sri Azizan Abdul Razak (PAS) menang kerusi DUN itu dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.

Justeru, Najib yang juga Pengerusi BN berharap usaha gigih yang dipamerkan itu dapat diteruskan tanpa ada yang berputus asa.

"Semoga usaha gigih ini dapat diteruskan, serta janganlah berputus asa. Sesungguhnya perjuangan kita tidak pernah selesai," katanya menerusi laman Twitter dan Facebook beliau pada malam Isnin. - BERNAMA

Artikel Lain