suria

Jangan Bawa Budaya Assabiyyah Dalam Kehidupan Masyarakat Majmuk - Yang di-Pertuan Agong

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengingatkan rakyat supaya tidak membawa budaya assabiyyah dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Seri Paduka bertitah rakyat sebaliknya perlu memahami konsep "penerimaan dan kebersamaan" yang menunjangi kesejahteraan hidup.

"Marilah kita bersikap sederhana dalam kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Negara," titah Seri Paduka semasa merasmikan sambutan Maal Hijrah 1435H/2013M peringkat kebangsaan dengan tema "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Selasa.

Tuanku Abdul Halim juga melahirkan kegusaran apabila semangat "kebersamaan dalam kepelbagaian" dalam kalangan rakyat cuba dihakis dan diganggu gugat pihak tertentu.

"Pelbagai isu sensitif dan slogan cuba dicanangkan, sedangkan semua pihak tahu dan perlu memahami bahawa kita semua bertanggungjawab menjaga kepentingan perpaduan dan keamanan negara.

"Kesemua tindak-tanduk kita juga haruslah mencerminkan bahawa kita adalah masyarakat yang memegang amanah untuk menjaga keharmonian negara dan bukan sebaliknya," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim mengingatkan rakyat supaya tidak melihat isu mutakhir di negara ini sebagai isu remeh dan dipandang sebelah mata.

Seri Paduka bertitah isu-isu membabitkan perubahan nilai hidup sehingga tidak dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah, penghinaan terhadap institusi agama dan Raja serta pembelaan hak asasi tanpa sempadan, jika tidak diatasi akan menjurus kepada kehancuran masyarakat dan negara.

"Beta merasakan cukuplah sampai di sini sahaja masyarakat kita dikelirukan dengan pelbagai kecelaruan nilai yang tiada berkesudahan kecuali ia hanya akan membinasakan ummah.

"Kita perlu bangun dan menoleh sejenak ke belakang untuk menilai semula kesilapan untuk diperbetulkan," titah Seri Paduka.

"Janganlah kita benarkan kecelaruan nilai berkembang dalam masyarakat kita sebaliknya usaha membimbing masyarakat kepada penerapan nilai-nilai kebersamaan perlu diteruskan tanpa mengenal musim dan sentiasa dijadikan agenda negara," titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong juga mengajak umat Islam di negara ini mencontohi pendekatan wasatiyyah yang dipelopori Rasulullah S.A.W dengan berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat Madinah.

"Kita wajar mencontohi negara Islam Madinah sebagai model yang mengiktiraf kepelbagaian bangsa dan kebersamaan untuk mempertahan dan membangunkan negara," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim bertitah rakyat Malaysia perlu mengamalkan amalan wasatiyyah atau kesederhanaan supaya usaha memperkukuhnya dapat dilaksanakan oleh kerajaan terutamanya kepada generasi muda yang menjadi asas kepada kesinambungan masyarakat dan kemajuan negara.

"Usaha memperkukuh kefahaman ini perlu melibatkan seluruh agensi kerajaan tanpa pengecualian termasuk media massa sebagai suatu platform yang amat strategik," titah Seri Paduka. - BERNAMA

Artikel Lain