suria

Majoriti Undi PAS Turun Bukit Sokongan Rakyat Pada BN Kembali - Shabery

KUALA LUMPUR: Meskipun calon PAS mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Yan, Kedah pada Isnin, namun majoriti undi PAS yang merosot membuktikan sokongan rakyat kepada BN telah meningkat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, majoriti sebanyak 1,084 berbanding 2,774 undi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) menzahirkan perubahan besar dalam kalangan rakyat yang beralih sokongan dengan kembali kepada BN.

"Kita terima kekalahan ini dengan cara terbuka dan kita tentunya menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat...kita ucapkan tahniah kepada calon PAS.

"Namun kita juga mengucapkan tahniah kepada calon BN dan juga jentera BN atas usaha mereka hingga berjaya mengurangkan majoriti kekalahan BN dengan begitu besar," katanya ketika ditemui di sini malam Isnin.

Beliau berkata, majoriti lebih kecil yang diperoleh PAS dalam pilihan raya kecil itu juga jelas menunjukkan bahawa rakyat semakin matang apabila kebanyakan daripada mereka tidak mempercayai isu-isu dan tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan.

"Isu-isu yang dilemparkan seperti soal cukai barang dan perkhidmatan (GST), harga gula dan kononnya berlaku ketirisan dan sebagainya, ternyata tidak berkesan untuk dimainkan kerana ramai yang tidak percaya dan mereka beralih pada BN," katanya.

Ahmad Shabery berkata, meskipun BN gagal merampas kerusi Sungai Limau dari PAS, semua rakyat perlu kembali bersatu dan mengetepikan perbezaan fahaman politik serta bergerak dalam semangat rakyat Malaysia.

"Rakyat perlu melangkah ke hadapan dan tinggalkan sebarang terguris, terhentak hati sewaktu kempen berjalan, yang pentingnya kita rakyat Malaysia," katanya.

Mengenai peratusan keluar mengundi, beliau berkata "Peratus undi tidak banyak beza dengan PRU13, saya kira kerana orang lihat PRK Sungai Limau ini tidak menentukan hidup mati kerajaan.

"Ia berbeza dengan yang berlaku di Besut, Terengganu (pilihan raya kecil DUN Kuala Besut pada 24 Julai lepas) apabila satu kerusi itu boleh tentukan corak kerajaan (negeri) yang ada...justeru mungkin kerana itu sebahagian dari pengundi yang duduk di luar menganggap mereka tidak perlu balik mengundi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain