suria

ATM Tetap Teliti Dakwaan Intipan - Panglima ATM

Panglima Angkatan tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (kanan) beramah mesra dengan Sarjan (B) Kamaruddin Kayat, 63, (kiri) ketika Majlis Meraikan Anggota Cedera Peringkat Pusat di Kuala Lumpur, Isnin. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetap meneliti sejauh mana kebenaran dakwaan pengintipan oleh pihak asing, sekalipun tiada laporan mengenai kebocoran maklumat dan rahsia ketenteraan negara setakat ini.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata isu itu perlukan pengesahan kerana membabitkan kedaulatan negara.

"Kita tahu satu daripada tugas kedutaan negara luar yang ada di negara ini ialah untuk mendapatkan butir-butir kemajuan ekonomi dan sebagainya namun kita perlu lihat sejauh mana maklumat yang mereka perolehi itu dan adakah ia dapat menjejaskan kedaulatan negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Anggota Cedera Peringkat Pusat di Kem Sungai Besi di sini, Isnin.

Dalam majlis itu 65 anggota yang cedera sewaktu bertugas, iaitu 14 yang masih berkhidmat manakala bakinya telah bersara, menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Mengulas lanjut, Zulkifeli berkata ATM sentiasa mengemas kini prosedur operasi standardnya berhubung rahsia dan maklumat ketenteraan berdasarkan perkembangan teknologi terkini.

Isu pengintipan itu timbul berikutan laporan akhbar berhubung dakwaan pemberi maklumat perisikan, Edward Joseph Snowden yang mendedahkan bahawa Amerika Syarikat (AS) mempunyai 90 kemudahan pengawasan elektronik di seluruh dunia termasuk di kedutaannya di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain