suria

Semua Pekerja Asing Diwajibkan Jalani Pemeriksaan - Riot

LABUAN: Kementerian Sumber Manusia akan bekerjasma rapat dengan kementerian berkaitan berhubung kemasukan pekerja asing ke negara ini, kata menterinya Datuk Richard Riot.

Beliau berkata pekerja asing diwajibkan menjalani proses pemeriksaan, khususnya berkaitan kesihatan, dan perkara ini berkuat kuasa serta-merta.

"Kita tidak mahu negara kita dibanjiri pekerja asing yang mempunyai masalah kesihatan dan rekod jenayah. Oleh itu, kita akan buat pemeriksaan terhadap setiap pekerja asing sebelum mereka dibenarkan bekerja di negara kita," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sijil kepada lepasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini Ahad.

Beliau berkata kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk berbuat demikian melalui program kerajaan dengan kerajaan untuk memastikan rakyat asing yang akan diambil bekerja tidak mempunyai dua rekod berkenaan.

Kata Riot pegawai kementerian beliau dan Kementerian Dalam Negeri telah ke Bangladesh untuk tujuan itu.

"Kita tidak boleh membenarkan pekerja asing yang mempunyai penyakit berjangkit dan rekod jenayah datang ke sini dan tidak perlulah saya sebut tentang mereka yang mempunyai virus 'human immunodeficiency' (HIV) juga," katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dilaporkan berkata jumlah pekerja asing yang terlalu ramai adalah antara punca penyakit batuk kering (TB) kini dikesan di negara ini.

Penyakit ini meningkat kepada 18,000 kes pada 2010 daripada 16,000 pada 2008.

Pada 2011, hanya 20,000 kes dilaporkan, dengan 1,600 kematian, manakala kira-kira 13 peratus pesakit TB adalah pekerja asing.

Dr Subramaniam berkata seseorang pekerja asing yang ingin bekerja di negara ini perlu menjalani dua pemeriksaan kesihatan, satu di negara asal mereka dan satu lagi di Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa mereka yang tidak melepasi pemeriksaan di sini akan dihantar pulang ke negara asal. - BERNAMA

Artikel Berikut

Anwar Beritahu PAS GST Efisyen

Artikel Lain