suria

Pusat Pengajian Bantu Bawa Masuk Ribuan Warga Bangladesh Ke Malaysia Secara Haram

JOHOR BAHRU: Beribu-ribu pekerja haram Bangladesh membanjiri negara ini dengan kebanyakannya menyamar sebagai pelajar asing dan adakalanya sebagai pelancong.

Mereka dibantu oleh institusi pengajian tinggi di Malaysia yang tidak bertanggungjawab dan pusat-pusat pendidikan yang berkerjasama dengan sindiket penyeludupan manusia.

Institut-institut dan pusat-pusat ini turut bertindak lebih jauh lagi dengan memalsukan rekod kehadiran dan menyediakan "laporan kemajuan" untuk "pelajar" untuk diserahkan kepada Imigresen Malaysia apabila visa mereka perlu diperbaharui.

Sindiket, sebahagian besarnya lebih gemar membawa masuk warga Bangladesh di bawah nama pelajar kerana mereka diberikan visa antara dua hingga enam bulan, berbanding hanya satu bulan sebagai pelancong.

Agensi pekerjaan dan sindiket penyeludupan manusia mengenakan bayaran antara RM10,000 dan RM12,000 untuk membawa masuk warga Bangladesh ke negara ini dan menyamar sebagai pelajar asing atau pelancong.

Malah, terdapat pensyarah dari kolej bahasa yang menunggu di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mengeluarkan dokumen-dokumen keperluan bagi memperakui bahawa "pelajar" terbabit datang ke Malaysia untuk belajar bahasa Inggeris.

Sebaik sahaja meninggalkan lapangan terbang, "pelajar" akan dibawa ke sebuah rumah yang selamat di Lembah Klang sebelum dihantar ke kilang-kilang di Selangor, Perak atau Johor.

Di situ, "pelajar" berkenaan akan berkerja sebagai buruh atau tukang kimpal, dengan gaji di antara RM30 dan RM60 sehari, bergantung kepada kemahirannya.

Keadaan ini terus berlaku walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertegas mengusir pendatang tanpa izin di negara ini bermula bulan lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pegawai-pegawai di kementerian menyedari tentang aktiviti institusi-institusi dan pusat-pusat pengajian terbabit.

Katanya, mereka sedang disoal mengenai jumlah pelajar asing yang begitu tinggi yang dibawa masuk ke sini.

"Saya tidak boleh menamakannya (institusi) tetapi ia kebanyakannya di sekitar Lembah Klang," kata Wan Junaidi.

Menurut beliau, kementerian juga sedang mengetatkan syarat untuk visa pelajar, juga visa yang dikeluarkan kepada pelancong.

"Sekarang, kolej-kolej tidak boleh mendapatkan visa semasa ketibaan tetapi perlu mengemukakan dokumen-dokumen sebelum pelajar-pelajar mereka datang ke negara ini.

"Ini bagi membuktikan bahawa pelajar-pelajar ini benar-benar datang ke sini untuk belajar, bukan untuk berkerja," katanya.

Artikel Berikut

Anwar Beritahu PAS GST Efisyen

Artikel Lain