suria

Peluang BN Menang Di DUN Sungai Limau Kini Lebih Baik - Dr Mahathir

Dr Mahathir ketika sidang media berkenaan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 Sungai Limau selepas majlis ramah mesra bersama rakyat Sungai Limau di Pejabat Lembaga Kemajuan Petanian Muda (MADA) Bukit Besar Sungai Limau di Yan pada Ahad. Foto BERNAMA
Dr Mahathir ketika sidang media berkenaan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 Sungai Limau selepas majlis ramah mesra bersama rakyat Sungai Limau di Pejabat Lembaga Kemajuan Petanian Muda (MADA) Bukit Besar Sungai Limau di Yan pada Ahad. Foto BERNAMA
Dr Mahathir ketika sidang media berkenaan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 Sungai Limau selepas majlis ramah mesra bersama rakyat Sungai Limau di Pejabat Lembaga Kemajuan Petanian Muda (MADA) Bukit Besar Sungai Limau di Yan pada Ahad. Foto BERNAMA

YAN: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang baik untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau daripada PAS, pada pilihan raya kecil (PRK) DUN itu, pada Isnin.

"Saya lebih yakin daripada masa saya dulu...masa saya dulu nak masuk pun tak boleh," katanya dalam sidang media di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini Ahad.

Dr Mahathir berkata, semangat BN kini tinggi, tidak seperti dahulu di mana banyak kawasan yang dulunya tidak boleh dimasuki kerana penduduknya menentang BN telah berubah dan sanggup mendengar penjelasan.

"Saya yakin apabila mereka dapat dengar daripada BN, mereka akan berani masuk dan sokong kita kerana jasa BN banyak. Boleh buat perbandingan, dulu tak ada perbandingan kerana selalunya kerajaan BN.

"Tapi sekarang, satu penggal PAS memerintah tak ada kemajuan walaupun pemimpinnya (arwah Tan Sri Azizan Abdul Razak) cukup baik tetapi kemajuan tidak dapat dicapai," katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau yakin dengan kejayaan BN di Kedah untuk membawa kemajuan yang lebih pesat dan peluang pekerjaan lebih luas selain pendapatan rakyat dapat ditingkatkan.

Beliau berkata, Allahyarham Azizan adalah sahabat baiknya yang berhasrat untuk mengurangkan pepecahan di kalangan orang Islam, namun kini pengundi di DUN Sungai Limau harus memilih seorang yang boleh meneruskan perjuangan tokoh Islam itu.

"Untuk meneruskan perjuangannya (Azizan), saya berpendapat supaya tidak berpecah, kita sokong yang baik dan tolak yang buruk. Saya menyeru agar fikir tentang pejuangan parti-parti di Malaysia, melihat perbandingan antara PAS dan Umno," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, pengundi DUN Sungai Limau perlu bijak memilih calon bagi PRK DUN itu pada Isnin, demi kepentingan generasi masa depan, negeri Kedah dan negara.

Katanya, pengundi tidak harus memilih calon mengikut perasaan dan PRK DUN Sungai Limau adalah penting untuk membuktikan pilihan yang dibuat itu adalah baik untuk memilih calon yang mampu membawa kemajuan.

Walaupun tidak berapa sihat, Dr Mahathir memilih untuk berada di sini sehari sebelum hari mengundi.

"Ya...saya tak berapa sihat tapi saya sayang kepada negara saya. Walaupun saya sakit, saya akan berusaha sedaya upaya, diizikan Allah S.W.T untuk membetulkan keadaan," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa anaknya Datuk Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah masih memerlukan sokongannya dalam membantu kempen BN, Dr Mahathir berkata Mukhriz perlu bergantung kepada kekuatannya sendiri.

"Semasa saya cukup kuat (masa jadi Perdana Menteri), masa tulah saya patut bantu dia. Tapi masa saya jadi Perdana Menteri, saya tak bagi dia bergerak dalam politik. Jadi, bila saya dah letak jawatan, masa ini saya nak tolong dia pun tak boleh. Jadi dia nak tak nak, dia kena berdiri atas kaki sendiri. Setakat ini, dia nampak masih boleh berdiri," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Anwar Beritahu PAS GST Efisyen

Artikel Lain