suria

Pelantikan Exco Dibuat Selepas Mendapat Perkenan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan - Mukhriz

JERLUN: Pelantikan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun Dr Leong Yong Kong sebagai anggota Exco bergantung kepada perkenan pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pelantikan bagi mengisi kuota yang diperuntukkan kepada MCA itu akan dibuat sebelum persidangan DUN pada 18 November ini, selepas diperkenankan.

Katanya MCA dilaporkan meminta dua kerusi Exco tetapi belum membuat permohonan rasmi kecuali surat yang diserah sendiri presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mencadangkan ADUN Kulim, Chua Thiong Gee turut dilantik sebagai Exco.

Mukhriz ditemui selepas menutup program 1 Komuniti 1 JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) (SKSJ) peringkat Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Megat Dewa di sini, Sabtu.

Chua dilaporkan akan melobi satu kerusi tambahan untuk wakilnya dilantik sebagai Exco menjadikan kuota parti itu dua kerana tiada wakil Gerakan memenangi kerusi DUN pada pilihan raya umum lepas.

Selepas dilantik sebagai Menteri Besar, Mukhriz melantik lapan daripada 10 anggota Exco dengan mengosongkan dua kerusi yang secara tradisinya diperuntukkan masing-masing satu kepada MCA dan Gerakan.

Mengenai program SKSJ, beliau berkata ia amat diperlukan oleh masyarakat Jerlun yang kadang-kadang menggunakan kenderaan untuk pelbagai urusan tanpa lesen.

"Dalam pada kita hendak kurangkan kemalangan, memandu tanpa lesen mengundang risiko. Program ini adalah untuk merakyatkan perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat," kata Mukhriz.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad dalam ucapan yang dibacakan timbalannya Datuk Ariffin Che Mat berkata program itu bermula 31 Julai dan berakhir 18 Oktober lepas melibatkan 243 peserta.

Katanya peserta khususnya warga emas hanya membuat bayaran minimum RM150 untuk mendapat lesen B2 berbanding RM261 melalui institut memandu.

Menurut Ismail, 462,423 orang terlibat dengan kemalangan jalan raya sepanjang tahun lepas iaitu peningkatan 13,383 orang atau tiga peratus berbanding 449,040 pada tahun 2011.

Katanya statistik polis menunjukkan kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat 40 orang (enam peratus) daripada 6,877 pada 2011 kepada 6,917 orang tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Anwar Beritahu PAS GST Efisyen

Artikel Lain