suria

Mukhriz Beri Amaran Jangan Halang Lalu Lintas

YAN: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menghalang pengundi untuk keluar mengundi dengan cara menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Menurut Mukhriz, beliau memandang serius mengenai perkara itu dan berharap pihak keselamatan dapat mengatasinya termasuk memindahkan kenderaan yang menyebabkan kesesakan.

"Saya minta kesesakan jalan raya dapat diatasi sebaik mungkin kerana ini hak pengundi di DUN Sungai Limau untuk keluar mengundi. Jangan ada mana-mana pihak yang sengaja meletakan kereta mereka di tepi jalan bertujuan untuk menyusahkan perjalanan pengundi ke tempat mengundi.

"Mana-mana pihak yang didapati berbuat demikian, saya minta unit trafik mengambil tindakan. Kalau perlu, pindahkan kereta-kereta itu supaya memudahkan perjalanan ke pusat-pusat mengundi," katanya kepada pemberita selepas berkempen di Kampung Seberang Jaya, di sini, Ahad.

Tambah Mukhriz, beliau bimbang taktik yang digunakan pihak berkenaan boleh menghalang peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

"Saya bimbang kerana ini merupakan satu taktik kerana setiap kali ada pilihan raya kecil, ada sahaja masalah yang sama iaitu lalulintas sengaja disesakkan supaya tak ramai pengundi boleh sampai ke tempat mengundi.

"Secara umumnya kita tahu setiap kali jumlah yang keluar mengundi itu tinggi, peluang untuk BN menang pun meningkat," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai peluang BN untuk menang di DUN Sungai Limau, Mukhriz berkata beliau optimis kejayaan akan berpihak kepada parti itu.

"Setakat ini saya rasa agak yakin bahawa peluang untuk BN menang adalah baik.

"Kita akan pastikan jentera kita bergerak secara efektif kerana saat-saat akhir inilah yang kadang-kadang menentukan menang ataupun kalah," katanya.

Artikel Berikut

Anwar Beritahu PAS GST Efisyen

Artikel Lain