suria

Lelaki Perdaya Tiga Peniaga Berjaya Ditahan Polis

MUAR: Seorang lelaki yang disyaki memperdaya tiga peniaga di sini dengan menyamar sebagai orang kenamaan bergelar 'Tan Sri' ditahan di Cameron Highlands, Pahang, bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Supt Sahadan Jaafar berkata lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan ketika bersembunyi di satu kawasan di pusat peranginan itu.

"Mangsa pertama yang diperdayakan lelaki itu adalah seorang penjual kereta berumur 54 tahun yang kerugian RM13,000 dalam kejadian pada Mei tahun lepas, manakala mangsa kedua adalah pengusaha kedai makan yang mengalami kerugian RM26,300 Jun tahun lepas.

"Seorang lagi mangsa ialah penjual kereta berumur 64 tahun yang kerugian RM60,000 serta sebuah kereta Proton Waja berharga kira-kira RM50,000 dalam kejadian Ogos tahun lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, di sini Sabtu.

Sahadan berkata modus operandi lelaki itu ialah memberikan surat yang menawarkan projek landskap dan urus niaga petroleum dengan sebuah syarikat petrokimia kepada mangsa-mangsanya.

Beliau berkata lelaki itu kemudian menetapkan syarat kepada mangsa iaitu perlu memberikan kereta dan sejumlah wang kepadanya sebagai ganjaran kerana membantu mendapatkan projek.

"Dua mangsa ditawarkan projek landskap manakala seorang lagi projek petroleum. Lelaki terbabit menghilangkan diri sebaik menerima wang dan kereta," katanya tanpa memberitahu tarikh sebenar lelaki yang berasal dari Selangor itu ditahan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Anwar Beritahu PAS GST Efisyen

Artikel Lain