suria

Jangan Libatkan Negara Bersahabat Dalam Aktiviti Intipan - Anifah

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata aktiviti intipan tidak sepatutnya dilakukan negara yang bersahabat rapat kerana boleh menjejaskan hubungan yang sedia terjalin.

Perkara itu dinyatakan Anifah dalam pertemuan beliau dengan rakan sejawatan dari Australia Julie Bishop di Perth, sempena Mesyuarat ke-13 Majlis Menteri-Menteri Indian Ocean Rim-Association for Regional Cooperation (IOR-ARC).

"Menteri luar telah mengambil kesempatan membangkitkan tentang laporan media berhubung dakwaan aktiviti intipan yang dijalankan Australia di Malaysia.

"Menteri luar melahirkan kebimbangan terhadap laporan media itu yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang awam di negara ini," demikian menurut kenyataan Kementerian Luar di sini.

Dalam reaksinya, Bishop memaklumkan bahawa adalah menjadi dasar kerajaan Australia untuk tidak memberi sebarang komen berhubung isu risikan.

"Bagaimanapun, Puan Julie Bishop mengambil maklum tentang kebimbangan yang disampaikan Malaysia berhubung perkara ini dan memberi jaminan kerajaan Australia meletakkan kepentingan yang tinggi dalam hubungan dua halanya yang begitu rapat dengan Malaysia," kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Luar semalam memanggil Duta Besar Amerika Syarikat dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia untuk menyerahkan nota bantahan susulan dakwaan aktiviti intipan yang dijalankan kedua-dua perwakilan di Kuala Lumpur itu.

Nota itu diserah Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) kementerian Datuk Ramlan Ibrahim kepada Pesuruhjaya Tinggi Australia Miles Kupa dan Timbalan Ketua Perwakilan Amerika Syarikat Lee McClenny, memandangkan dutanya berada di luar Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Berikut

Anwar Beritahu PAS GST Efisyen

Artikel Lain