suria

Intipan Ke Atas Malaysia Boleh Jejas Hubungan - Hishammuddin

KLUANG: Kegiatan pengintipan ke atas Malaysia oleh negara sahabat adalah perkara yang serius, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, ini kerana tindakan itu boleh menyebabkan hubungan sebelum ini, yang bersandarkan kejujuran dan keikhlasan, menjadi tegang.

"Saya percaya kalau ia tidak dapat diperjelaskan dengan sepenuhnya, mungkin hubungan kita yang telah dibina selama ini tegang. Sebab itu, apa yang dikatakan intipan itu perlu kita dapat penjelasan terperinci setakat mana ia wujud dan untuk apa," katanya.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia R.Vidyanathan, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kahang, di Taman Sri Lambak di sini, Ahad.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, ketegangan boleh dielak sekiranya negara sahabat terbabit berpegang kepada kejujuran dan keikhlasan dalam hubungan mereka dengan Malaysia.

Isu pengintipan timbul berikutan laporan akhbar berhubung dakwaan pemberi maklumat perisikan, Edward Joseph Snowden, yang mendedahkan bahawa Amerika Syarikat (AS) mempunyai 90 kemudahan pengawasan elektronik di seluruh dunia termasuk kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Justeru, Hishammuddin berkata beliau inginkan penjelasan yang mendalam berhubung perkara itu kerana kegiatan intipan boleh menjejas keselamatan dan kepentingan negara.

Sementara itu, Duta AS di Malaysia, Joseph Y.Yun dilapor sudah memberi penjelasan berhubung dakwaan pengintipan kepada Wisma Putra.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Yun menyatakan semua kegiatan pengawasan yang dijalankan AS di seluruh dunia adalah bagi tujuan keselamatan, khususnya mengenal pasti kewujudan ancaman seperti keganasan dan senjata pemusnah besar-besaran.

Diminta mengulas lawatan beliau ke China bulan lepas, Hishammuddin berkata, langkah itu telah memulakan asas kepada hubungan kerjasama dalam bidang pertahanan, terutama melalui latihan bersama, pertukaran pegawai tentera laut dan ketenteraan, usaha memerangi keganasan dan jenayah transnasional. - BERNAMA

Artikel Berikut

Anwar Beritahu PAS GST Efisyen

Artikel Lain