suria

751 Syarikat Keselamatan Digesa Semak Maklumat Peribadi Pekerja - Ahmad Zahid

YAN: Kesemua 751 syarikat keselamatan berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menyemak maklumat peribadi pekerja masing-masing bagi mengelakkan kejadian pemalsuan pengenalan diri, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, sekiranya syarikat berkenaan gagal melakukan penyemakan itu dengan KDN, implikasi buruk akan ditanggung sekiranya didapati pengawal keselamatan yang bekerja dengan syarikat berkenaan menggunakan MyKad palsu atau bukan milik mereka.

"Jika didapati syarikat terbabit ada pekerja menggunakan MyKad palsu atau milik individu lain, maka lesen operasi syarikat berkenaan akan ditarik balik serta merta.

"Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan setelah amaran dikeluarkan kepada premis berkaitan," katanya pada sidang media selepas melancarkan program My12 dan MY18 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Limau di sini, Ahad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah Datuk Tajul Urus Mat Zin.

Beliau berkata kementerian hanya mengizinkan syarikat keselamatan mengambil warganegara Malaysia atau Nepal untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan seperti yang termaktub di dalam perundangan negara.

"Ketika ini hanya Nepal menjadi negara sumber membekalkan bekas tentera mereka sebagai pengawal keselamatan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata KDN telah menjalankan Ops ID secara besar-besaran di seluruh negara bermula 29 Okt lepas, di Putrajaya, Cyberjaya, Selangor dan Kuala Lumpur ekoran seorang pegawai bank ditembak mati oleh pengawal keselamatan yang menggunakan kad pengenalan palsu pada 23 Oktober lepas.

Beliau berkata polis sedang menjejaki pengawal keselamatan terbabit yang diyakini masih berada di dalam negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata sebanyak 282 pengawal keselamatan telah diperiksa, dua daripadanya dihadapkan ke mahkamah di Sepang dan mereka telah dijatuhkan hukuman enam bulan penjara.

"Setakat ini lima pengawal keselamatan telah ditahan atas kesalahan menggunakan MyKad palsu dan milik orang lain di Kuala Lumpur dan Selangor," katanya sambil menambah bahawa operasi khas itu akan diteruskan dalam usaha mengelak kejadian itu daripada berulang di negara ini.

Terdahulu, Ahmad Zahidi menyampaikan MyKad kepada 176 penerima terdiri daripada pelbagai lapisan usia termasuk enam warga emas pada majlis itu.

Dalam ucapannya, beliau berkata sebanyak 52,578 kanak-kanak di seluruh negara yang sudah berumur 12 tahun masih belum memohon MyKad pertama dan daripada jumlah itu 1,558 dari negeri Kedah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Anwar Beritahu PAS GST Efisyen

Artikel Lain