suria

TNB Sedia 18 Set Generator Pada Hari Mengundi PRK DUN Sungai Limau

YAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyediakan 18 set generator pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Isnin ini.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata penempatan generator itu adalah untuk persiapan awal TNB sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik pada hari pengundian.

"Satu generator berkapasiti 1,000 kilowatt akan ditempatkan di pusat penjumlahan undi (di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan), manakala 17 set berkapasiti 1.5 kilowatt di pusat-pusat pengundian," katanya kepada pemberita selepas taklimat bekalan elektrik dan majlis sumbangan TNB kepada masjid di DUN Sungai Limau, di sini, Sabtu.

TNB menyumbang RM23,000 kepada 22 buah masjid dan sumbangan berbentuk keperluan dapur dan barangan elektrik kepada 51 keluarga miskin sebagai tanggungjawab sosial korporat.

PRK DUN Sungai Limau Isnin ini melibatkan pertandingan antara calon Barisan Nasional Dr Ahmad Sohaimi Lazim dengan Mohd Azam Abd Samat daripada PAS.

DUN Sungai Limau mempunyai 19 daerah mengundi dengan 17 pusat mengundi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain