suria

PM Sertai Ribuan Rakyat Meriahkan Rumah Terbuka Deepavali MIC

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disambut oleh sebahagian masyarakat India ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC di perkarangan Batu Caves, Sabtu. Turut kelihatan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel (dua,kiri) merangkap Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disambut oleh sebahagian masyarakat India ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC di perkarangan Batu Caves, Sabtu. Turut kelihatan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel (dua,kiri) merangkap Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disambut oleh sebahagian masyarakat India ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC di perkarangan Batu Caves, Sabtu. Turut kelihatan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel (dua,kiri) merangkap Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Suasana meriah mewarnai sambutan Deepavali dengan rakyat Malaysia beragama Hindu mengadakan upacara keagamaan dan menerima kunjungan sanak saudara dan sahabat handai di rumah mereka.

Sambutan di perkarangan kompleks kuil Batu Caves di sini adalah antara acara kemuncak pada hari ini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai ribuan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC.

Paluan gendang dan seruling memeriahkan ketibaan Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional pada kira-kira 10.15 pagi, dengan disambut Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan pemimpin-pemimpin parti.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu serta Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim Siang Chai.

Memakai kurta berwarna putih, Najib kemudiannya memotong kek bersama-sama dengan tetamu kehormat lain.

Najib dan Muhyiddin turut mengunjungi rumah terbuka Deepavali anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di Pusat Konvensyen HGH, Sentul, di sini.

Sementara itu, warga Sepanyol dari Barcelona yang hanya mahu dikenali sebagai Raphael, 66, berkata beliau teruja dengan sambutan Deepavali di Batu Caves yang begitu meriah dengan kehadiran bukan sahaja kaum yang menyambutnya bahkan bangsa lain.

"Ini kali pertama saya berada di sini dan saya begitu teruja dengan sambutan penuh warna warni dengan pelbagai aneka makanan. Sungguh meriah sekali," katanya kepada Bernama.

Warga emas, Mary Yim, 68, pula berkata beliau dan suaminya berada di sini semata-mata untuk merasai kemeriahan sambutan Deepavali selain menikmati makanan tradisional masyarakat India yang belum pernah dicuba.

Di IPOH, bekas exco kerajaan negeri Datuk G. Rajoo mengadakan rumah terbuka di kediamanannya di Taman Lim di sini.

Kerajaan negeri akan mengadakan rumah terbuka Deepavali peringkat negeri di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung esok dengan jangkaan kehadiran kira-kira 7,000 pengunjung.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Idris Haron mengunjungi rumah terbuka yang diadakan Majlis Bekas-bekas Wakil Rakyat Negeri Melaka di rumah bekas exco kerajaan negeri, Datuk R. Raghavan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam pula akan mengadakan rumah terbuka Deepavali di Ujong Pasir malam ini dan Idris dijadual menghadirinya.

Sementara itu, Little India Melaka di Jalan Bendahara meriah dengan hiasan warna-warni Deepavali yang menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.

Di KUCHING, antara kuil yang menjadi tumpuan penganut Hindu sempena Deepavali ialah Kuil Sri Srinivasagar Kaliamman di Jalan Ban Hock dan Kuil Sri Maha Mariamman, Batu Lintang.

Bagi pesara N.Muniyandi, 60, dan isteri S.Rajelosana, 54, sambutan Deepavali dalam kalangan komuniti kecil penganut Hindu di sini tidak kurang meriahnya.

"Saya pernah tinggal dan bekerja di Nilai, Negeri Sembilan. Saya boleh katakan sambutan di Kuching lebih meriah kerana komuniti kecil menyebabkan hubungan lebih erat," kata Muniyandi, bekas pesara sebuah syarikat pengendali lapangan terbang.

Di PULAU PINANG, masyarakat berbilang kaum turut memeriahkan perayaan Deepavali dengan menghadiri rumah terbuka Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) negeri Senator Datuk Dr Loga Bala Mohan di kediamannya di Bukit Mertajam.

Ribuan penganut agama Hindu menyambut perayaan itu secara sederhana dengan mengunjungi kuil-kuil sekitar Jalan Air Terjun, Jalan Kebun Bunga dan Jalan Datok Keramat.

Di SEREMBAN, beberapa pemimpin MIC negeri mengadakan majlis rumah terbuka termasuk Pengerusi MIC negeri, Datuk T. Rajagopalu di kediamannya di Taman Sungai Ujong.

Turut berbuat demikian ialah exco kerajaan negeri L. Manickam di Pusat Khidmat Barisan Nasional Jeram Padang, Bahau, manakala Ketua Penerangan MIC Kebangsaan yang juga Pengerusi MIC Rembau Datuk V.S. Mogan mengadakan rumah terbuka di Taman Rantau, Rembau.

Di Arau, PERLIS, usahawan M. Kumaran, 54, mengadakan rumah terbuka di Kompleks Penyayang Dr Siti Hasmah dengan tetamu khasnya terdiri daripada golongan kurang upaya.

Usahawan itu yang juga insan kurang upaya, turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada tetamu berkenaan.

Di JOHOR BAHARU, penganut Hindu mengunjungi beberapa kuil untuk upacara keagamaan termasuk Kuil Sree Muneeswaran, Tampoi dan Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam di Jalan Ungku Puan di pusat bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Negeri Johor R. Vidyananthan yang juga Setiausaha MIC Johor, dijadual mengadakan rumah terbuka Deepavali di Dewan Kejora, Taman Sri Lambak dekat Kluang mulai 10 pagi hingga 1 tengah hari esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain