suria

Perpaduan & Persefahaman Boleh Tingkatkan Kejayaan Kaum India - Dr Subramaniam

PUTRAJAYA: Kejayaan masyarakat keturunan India di negara ini boleh dipertingkatkan lagi dengan mempererat persefahaman dan perpaduan sesama sendiri serta dengan kaum lain, kata Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini amat penting kerana ia menjadi asas kepada pembangunan yang dinikmati rakyat.

"Rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama perlu saling menghormati dan perayaan Deepavali yang disambut esok harus dijadikan kesempatan oleh seluruh rakyat Malaysia untuk mengeratkan perpaduan.

"Semoga sambutan perayaan Deepavali tahun ini memberikan cahaya kepada kaum India di negara ini untuk menikmati kehidupan yang lebih baik dan kesejahteraan berpanjangan," katanya dalam perutusan Deepavali beliau di sini Jumaat.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan meminta kaum ketiga terbesar di negara ini agar bijak menggunakan pelbagai peluang erutama golongan belia dalam bidang pendidikan, perniagaan dan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

"Kaum India terutama golongan belia perlu meningkatkan nilai-nilai murni dan positif bagi memantapkan diri mereka. Pendidikan adalah kunci penting ke arah kemajuan. Gunakanlah segala peluang yang ada untuk maju ke hadapan. Selamat Hari Deepavali," katanya.

Beliau juga menasihatkan masyarakat India dan rakyat Malaysia secara umumnya agar sentiasa mengamalkan pemakanan sihat dan melakukan senaman rutin bagi meningkatkan tahap kesihatan. - BERNAMA

Artikel Lain