suria

Pelajar Sudan Meninggal Selepas Koma Enam Hari Akibat Dipukul

SEREMBAN: Seorang pelajar Sudan meninggal dunia pada Khamis selepas koma enam hari akibat dipukul dua lelaki warga Afrika di Bandar Baru Nilai, Sabtu lalu.

Mangsa Alaeldin Alfatih, 20, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9 pagi ini ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Yusof Awang berkata mangsa yang belajar di sebuah kolej swasta di Nilai dikejarkan ke HTJ pada pagi Sabtu lalu selepas dijumpai tidak sedarkan diri di dalam biliknya di asrama kolej terbabit.

Beliau berkata beberapa jam sebelum itu iaitu kira-kira pukul 4.30 pagi, mangsa dikatakan telah dipukul dengan menggunakan botol arak oleh dua lelaki Afrika yang tidak dikenali ketika mangsa sedang berjalan di kawasan berhampiran kolej tersebut.

"Mangsa sempat melarikan diri dan terus pulang ke asrama, tetapi tidak lama selepas itu dia dijumpai tidak sedarkan diri oleh rakan-rakannya dan mereka terus membawa mangsa ke HTJ," katanya ketika dihubungi di sini Khamis.

Katanya pihak polis sedang mengesan kedua-dua warga Afrika terbabit dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membunuh.

Bapa mangsa Alfatih Mahmud, 52, yang ditemui di HTJ pada Khamis berkata beliau dan isterinya tiba di negara ini Ahad lalu selepas dimaklumkan pihak kolej berhubung kejadian yang menimpa anaknya.

Katanya selepas koma selama enam hari, beliau tidak menyangka anak keduanya itu yang sedang mengikuti jurusan Diploma Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat akhirnya meninggal dunia.

"Saya reda dengan pemergian anak saya ini, tetapi saya merayu pihak berkuasa agar segera menangkap pembunuh anak saya supaya keadilan untuk keluarga kami dapat ditegakkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain