suria

Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Nik Nazmi

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad untuk mengetepikan pertuduhan terhadapnya kerana menganjurkan satu perhimpunan di Stadium Kelana Jaya 8 Mei lepas.

Nik Nazmi dituduh menganjurkan perhimpunan itu tanpa memberikan notis 10 hari lebih awal kepada pihak polis seperti diperlukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Hakim Noor Azian Shaari dalam penghakimannya berkata beliau tidak bersetuju dengan hujah pemohon bahawa pertuduhan ke atas beliau adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Nik Nazmi didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memberikan notis, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Hakim Noor Azian berkata Seksyen 9(1) dan 9(5) Akta berkenaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan bukannya undang-undang yang tidak munasabah kerana di bawah Artikel 10 (2) Perlembagaan Persekutuan, undang-undang boleh dikenakan untuk menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam biarpun di bawah Artikel 10 memberikan hak kepada orang awam berhimpun secara aman.

Noor Azian juga berkata dakwaan bahawa pertuduhan ke atas pemohon adalah "pendakwaan terpilih dan bermotifkan politik" merupakan asam dan garam untuk menyedapkan cerita pemohon.

Isu ini perlu dibangkitkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di mana pemohon didakwa dan akan dibicarakan, katanya.

Beliau percaya pihak yang menyiasat dan pendakwaan mempunyai alasan yang munasabah untuk mendakwa pemohon di mahkamah.

Nik Nazmi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman semasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 17 Mei lepas dan memfailkan permohonan mengetepikan pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Ogos lepas.

Pada hari ini pihak pemohon diwakili oleh peguam Eric Paulsen dan Syahredzan Johan manakala pihak responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Nik Nazmi ketika ditemui di luar mahkamah berkata peguam-peguamnya akan memfailkan rayuan terhadap kes itu dalam masa terdekat.

Kes beliau di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya akan disebut semula pada 12 November. -BERNAMA

Artikel Lain