suria

Esscom Hanya Laksana Operasi Bancian Perkampungan Air - Mohammad

KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) hanya melaksanakan operasi bancian penduduk perkampungan air di kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) manakala keputusan menempatkan semula penduduk ditentukan kerajaan negeri.

Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek berkata hasil bancian itu diserah kepada kerajaan negeri untuk memutuskan tindakan seterusnya terhadap penempatan itu.

Mohammad berkata setakat ini Esscom telah melancarkan operasi bancian di Mukim Simunul di daerah Semporna, dan kerajaan memutuskan untuk memindahkan penduduk di situ ke penempatan baharu yang lebih sesuai.

"Dalam hal ini, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan belum membuat keputusan untuk memindahkan penduduk di perkampungan air yang lain.

"Pada peringkat awal, Esscom mengenalpasti tiga daerah iaitu Semporna, Sandakan dan Lahad Datu sebagai projek perintis sebelum operasi bancian ini diperluas ke daerah lain di kawasan Esszone," katanya dalam kenyataan pada Jumaat. Kenyataan itu dikeluarkan susulan perjumpaan beliau dengan anggota Parlimen dari Sabah di Bangunan Parlimen Selasa lepas.

Antara anggota Parlimen yang hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga anggota Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga anggota Parlimen Keningau Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Turut hadir Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang juga anggota Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup dan anggota Parlimen Tuaran merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Madius Tangau.

Mohammad yang memberi penjelasan mengenai peranan Esscom berkata beliau berpuashati dengan hasil dialog itu dan berharap pandangan serta maklum balas yang diberikan angggota Parlimen dapat membantu memantapkan lagi operasi Esscom.

Sambil memperincikan kriteria dan asas penempatan semula penduduk di perkampungan air dan setinggan di kawasan Esszone, Mohammad berkata antara faktor yang diambil kira ialah ancaman keselamatan, kebakaran, ancaman alam sekitar dan penyakit.

"Berdasarkan maklum balas, kes kecurian air dan elektrik juga dikatakan berlaku secara berleluasa di perkampungan air dan setinggan yang mengakibatkan ketirisan hasil kerajaan. "Kita yakin dengan adanya penempatan semula, keselamatan mereka lebih terjamin, tempat tinggal lebih selesa, bekalan elektrik yang betul dan kebersihan yang lebih baik," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain