suria

ROS Diminta Siasat Status 54 NGO Dalam Comango

KUALA LUMPUR: Pendaftar Pertubuhan (ROS) digesa menyiasat status 54 badan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang membuat tuntutan bercanggah dengan Islam serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) berkata tindakan tegas itu perlu bagi mengenal pasti sama ada kesemua NGO itu merupakan pertubuhan berdaftar selain memastikan tidak ada nama NGO yang diperalatkan bagi kepentingan gabungan itu.

"Tuntutan Comango tidak selari dengan Perlembagaan negara kita dan kenyataan mereka ini memberi gambaran buruk terhadap negara kita selain boleh menjejaskan hubungan baik dan nama Malaysia dengan mana-mana negara hingga boleh menjejaskan prospek ekonomi perdagangan dan hubungan antarabangsa.

"Kita juga takut NGO ini hanya digunakan pihak tertentu dan memasukkan (nama) dalam gerakan Comango, mungkin ada NGO yang teraniaya atau sebaliknya sebab itu kita mahu ROS siasat segera masalah ini," katanya.

Berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat pada Khamis, Raime turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyiasat Sisters In Islam (SIS) yang turut tersenarai dalam gabungan itu kerana menyifatkannya berbahaya kepada umat Islam, lebih-lebih dengan kebanyakan tuntutan Comango bertentangan dengan Islam.

"Comango jelas sekali menidakkan peranan dan kewujudan umat Islam di negara kita dan adalah sesuatu yang mendukacita, jika SIS berada dalam kelompok Comango ini, saya pohon Jakim siasat," katanya.

Katanya tindakan segera perlu bagi memerangi sebarang usaha jahat untuk mengenepikan undang-undang negara dan agama Islam di negara ini selain memastikan tidak ada pihak lain yang mengambil kesempatan di atas isu itu yang boleh memecah-belahkan perpaduan umat Islam dalam negara.

Comango yang merangka kandungan laporan mengenai hak asasi manusia antara lain menuntut hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, bisexual, transgender, intersex, queerperson (LGBTIQ), mempertikaikan peruntukan tertentu dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang didakwa mendiskriminasi wanita Islam, dakwaan diskriminasi terhadap pengikut Syiah, bantahan pengharaman bahan-bahan penerbitan yang menyalahi hukum Syarak dan lain-lain.

Persidangan dewan bersambung Rabu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain