suria

Rakyat Malaysia Ditahan Di Filipina Akan Dihantar Pulang - Wisma Putra

KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Filipina di Zamboanga City, selatan Filipina, 4 Oktober lepas, kerana disyaki terbabit dalam aktiviti Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) akan dihantar pulang ke Malaysia.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata lelaki berusia 55 tahun itu ditahan atas dakwaan kesalahan memasuki negara itu tanpa dokumen sah dan akan dihantar pulang selepas mendapat kebenaran daripada Biro Penyiasatan Kebangsaan Filipina.

Pihak berkuasa Filipina memaklumkan kepada Kementerian Luar bahawa lelaki itu mengaku sebagai anggota MNLF.

"Walau bagaimanapun, perkara ini masih tertakluk kepada siasatan pihak berkuasa Filipina," demikian menurut kenyataan Wisma Putra, Khamis.

Kenyataan itu menyebut lelaki berkenaan kini ditahan di Pusat Tahanan Biro Imigresen, Bucutan, Taguic City di Manila dan sedang menunggu penguatkuasaan perintah penghantaran pulang.

"Kedutaan Besar Malaysia di Manila akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Filipina mengenai kes ini dan bersedia memberi bantuan konsular sewajarnya kepada tahanan tersebut," menurut kenyataan itu.

Menurut laporan akhbar pada Rabu, lelaki yang berasal dari Kota Kinabalu itu ditangkap ekoran tindakan susulan pihak keselamatan Filipina terhadap individu-individu yang disyaki terbabit dalam insiden serangan oleh anggota MNLF di Zamboanga City pada 9 September lepas.

Dilaporkan lebih 400 anggota MNLF menyerang Zamboanga City untuk menawan bangunan dewan bandar raya dan menaikkan bendera 'Republik Bangsamoro Merdeka'.

Kira-kira 190 pejuang MNLF terbunuh selepas pertempuran lebih tiga minggu dan 292 suspek ditawan atau menyerah diri.

Menurut laporan akhbar dalam talian negara itu, 23 anggota tentera serta polis terbunuh dan 180 cedera, manakala 12 orang awam maut dalam kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain