suria

Petronas Temui Deposit Gas Baharu di Sarawak, Sumatra Selatan & Australia

KUALA LUMPUR: Petronas pada Khamis mengumumkan penemuan baharu gas di tiga daripada penerokaan huluannya di Malaysia, Indonesia dan Australia.

Di dalam satu kenyataan di sini, ia berkata penemuan pertama ialah menerusi telaga Pegaga-1 di Blok SK320, luar pesisir Sarawak, dikendalikan oleh Mubadala Petroleum menerusi sekutu Malaysia.

Telaga Pegaga-1 terletak kira-kira 250 km ke barat laut Bintulu, dengan kedalaman laut 108 meter.

"Syarikat pengendali merancang untuk terus menggerudi bagi menentukan jumlah penemuan dan kualiti gas," kata syarikat.

Unitnya, Petronas Carigali Sdn Bhd mempunyai kepentingan 25 peratus di dalam blok itu.

Di Indonesia, PetroChina, syarikat pengendali dan rakan Petronas di Blok Jabung Sumatra, telah berjaya menjumpai gas menerusi telaga NEB Base-1.

Petronas menguasai 42.85 peratus kepentingan di dalam Blok Jabung.

Secara keseluruhan, syarikat itu terdapat di tujuh blok di Indonesia dengan ia mengendalikan tiga daripada penerokaan itu. "SKK Migas, pihak berkuasa kerajaan yang menguruskan aktiviti kontraktor perkongsian pengeluaran di Indonesia, amat menyokong usaha sama cari gali di blok berkenaan," katanya.

Di Australia, Evans Shoal North-1 di lapangan gas Evans Shoal Laut Timor telah berjaya menggerudi sehingga kedalaman sasaran 3,955 meter.

Rakan-rakan di dalam usaha sama NT/P48 ialah Shell (pengendali; 32.5 peratus), Eni (32.5 peratus), Petronas (25 peratus) dan Osaka Gas (10 peratus).

Telaga itu dikendalikan oleh Eni bagi pihak usaha sama itu.

Untuk Malaysia, hasil penemuan di Blok SK320 membuktikan masih terdapat potensi hidrokarbon di Lembangan Sarawak, kata Petronas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain