suria

MIC Mahu Cuti Deepavali Dua Hari - Palanivel

PUTRAJAYA: MIC akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya memberikan cuti umum dua hari bagi sambutan perayaan Deepavali, kata presidennya Datuk Seri G.Palanivel.

Katanya sebagai sambutan nasional, perayaan yang disambut masyarakat India beragama Hindu dan Sikh di negara ini wajar diberikan cuti umum dua hari, bagi memeriahkan lagi perayaan itu.

"Sekarang cuti umum hanya satu hari sahaja. Saya akan kemukakan cadangan cuti umum dua hari kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pada majlis rumah terbuka sambutan Deepavali MIC 2013 di perkarangan kuil di Batu Caves, pada 2 November nanti.

"Sambutan Deepavali ketika ini amat berbeza dengan penglibatan semua lapisan masyarakat, jika dibandingkan dengan suatu ketika dahulu. Kalau cuti umum dua hari, ia lebih meriah lagi," katanya kepada pemberita di sini.

Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, Deepavali atau lebih dikenali pesta cahaya merupakan antara perayaan keagamaan terbesar di negara ini, kini disambut lebih sebulan iaitu sebelum dan selepas Deepavali, seperti mana Hari Raya Aldilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas.

Bagi menyeri dan memeriahkan suasana sambutan Deepavali, katanya, kerajaan juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti tapak perniagaan hampir di semua bandar-bandar utama di seluruh negara.

Beliau menjangkakan lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum dan latar belakang termasuk pelancong asing akan menghadiri Rumah Terbuka Deepavali MIC 2013, kali ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain