suria

Khazanah: Mahkamah Batal Kes Saman Halim Saad

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membatalkan saman RM1.8 bilion yang difailkan hartawan Tan Sri Halim Saad terhadap Khazanah Nasional Berhad dan dua yang lain berhubung penyelesaian untuk melepaskan pegangan dalam Renong Berhad.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah memerintahkan Halim membayar kos RM25,000 kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta kerajaan dan RM25,000 kepada Khazanah Nasional.

Halim, bekas pemegang saham terbesar dan pengerusi eksekutif Renong, memfailkan saman itu pada 17 April tahun ini.

Dalam penghakimannya, Hanipah berkata perjanjian antara pihak-pihak terlibat dibuat pada 2003, dan Halim memfailkan saman itu selepas tempoh had masa enam tahun berakhir.

"Tiada penipuan dan salah nyata fraud dilakukan oleh defendan.

"Plaintif (Halim) telah 'tidur' selama ini dan muncul secara tiba-tiba selepas tersedar dengan memfailkan saman tahun ini," katanya selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak.

Dalam pernyataan tuntutan, Halim berkata pada 2001 beliau pemegang 372,000,000 saham berjumlah hampir 16 peratus daripada modal terbitan dan berbayar Renong, menjadikan beliau pemegang saham individu terbesar Renong.

Beliau berkata pada November 2002, Nor Mohamed dilantik sebagai pengarah Khazanah dan pada bila-bila masa material, Renong memegang kepentingan besar dalam modal terbitan dan berbayar sebuah syarikat dikenali sebagai United Engineers (M) Bhd (UEM).

Halim mendakwa beliau dipujuk oleh Nor Mohamaed selaku wakil kerajaan agar beliau menerima tawaran itu dan melepaskan Renong dan UEM.

Beliau menuntut RM1.3 bilion, ganti rugi am bagi pelanggaran pemilikan Renong, serta RM508 juta bagi nilai modal berbayar Kualiti Alam Sdn Bhd bagi penyelesaian kerugian dialaminya untuk menyelamatkan Kumpulan Fleet dan ganti rugi bagi salah nyata fraud. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain