suria

Kes Ambank: Salurkan Maklumat Kepada Polis, Bukan Sebar Di Media Sosial

SHAH ALAM: Polis meminta mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes pengawal keselamatan menembak mati pegawai bank dalam kejadian rompakan di Subang Jaya, 23 Oktober lepas, agar menyalurkannya kepada mereka.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata langkah itu bagi membolehkan polis meneliti kesahihan maklumat sekali gus membantu siasatan kes tersebut.

"Sekarang terlalu banyak maklumat yang disebar menerusi media sosial, justeru kita minta mereka yang menerima maklumat ini agar menyalurkannya kepada kita, bukan sekadar menyebarkannya menerusi laman sosial," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan pihak tertentu menerusi satu laman sosial yang kononnya mereka kawan suspek, namun tidak akan dipanggil atau ditahan polis kerana sudah membayar 'wang perlindungan' kepada pihak berkuasa itu.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata polis akan meneliti dakwaan pihak berkenaan termasuk laman sosial milik mereka.

Pada Rabu, Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan dalam satu sidang media memberitahu polis sedang mengesan individu pertama yang bertanggungjawab menyebar gambar serta rakaman video kejadian rompakan tersebut.

Dalam kejadian di Ambank cawangan Subang Jaya itu, pegawainya Norazita Abu Talib, 37, maut selepas ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek, ketika mangsa membuka peti besi di bilik kebal bank tersebut.

Suspek yang juga pengawal keselamatan bertugas di bank itu kemudian melarikan wang tunai berjumlah RM450,000.

Setakat ini 11 individu termasuk tiga anggota keluarga suspek ditahan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain