suria

Kerajaan Tidak Cadang Mansuh Subsidi Petrol - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang memansuhkan pemberian subsidi petrol kerana kerajaan masih mampu untuk menanggung subsidi bahan itu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata sebaliknya kerajaan akan memastikan langkah rasionalisasi bahan bakar itu dapat dinikmati oleh golongan sasar.

"Kita tidak pernah bercadang memansuhkan secara keseluruhan subsidi minyak selagi kerajaan mampu menanggungnya," katanya ketika menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Bung Moktar ingin tahu sama ada kerajaan sedia memansuhkan keseluruhan subsidi bahan bakar dan menggantikan pemansuhan itu dengan kenaikan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Katanya, langkah rasionalisasi subsidi akan dilaksanakan secara berperingkat dengan membuat pertimbangan termasuk mengambil kira bebanan rakyat dan bukan dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Terdahulu menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang), Ahmad berkata kerajaan telah mengambil beberapa langkah penguatkuasaan bagi membendung kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi.

Antara langkah yang diambil ialah mengeluarkan arahan kepada semua stesen minyak jualan diesel untuk tangki kenderaan sahaja tanpa melalui bekas atau tong kecuali atas kebenaran pengawal iaitu melalui Permit Barang Kawalan; stesen minyak dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan hanya dibenar menjual 20 liter minyak kepada kenderaan asing selaras dengan Larangan Eksport di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011.

Selain itu, kerajaan juga mengadakan tindakan bersepadu dengan agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kerajaan juga menempatkan Rela di 45 stesen minyak di empat negeri bersempadan untuk membendung pengaliran diesel bersubsidi ke Thailand dan mengarahkan semua syarikat pengeluar minyak menghantar maklumat belian oleh stesen-stesen minyak secara harian sebagai langkah pemantauan terhadap stesen minyak yang membuat pembelian diesel dalam kuantiti yang meragukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain