suria

Kementerian Luar, Dalam Negeri Siasat Dakwaan Sumber Perisikan AS

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat maklumat mengenai dakwaan sumber perisikan di Malaysia dan akan bekerjasama dengan Kementerian Luar dalam isu berkenaan.

"Kita akan mengkaji laporan tersebut untuk melihat sama ada wujud sebarang pengumpulan maklumat risikan di sini, kita akan menyalurkan maklumat berkenaan kepada Wisma Putra untuk tindakan selanjutnya," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media Australia yang memetik pemberi maklumat Edward Snowden yang juga bekas pegawai perisikan Australia terdapat 90 pegawai perisikan Amerika Syarikat di seluruh dunia termasuk pejabat pesuruhjaya tingginya di Kuala Lumpur, kedutaannya di Jakarkta, Phnom Penh dan Yangon.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut, sebaliknya beliau menyerahkan perkara tersebut kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk mengambil tindakan selanjutnya. Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai isu yang serius dan kerajaan perlu bertegas dalam menanganinya.

"Perdana Menteri dan Wisma Putra harus memberi jawapan yang jelas dalam isu ini, kita tidak harus dilihat lemah dalam menangani pengaruh Amerika Syarikat.

"Tiada negara, termasuk Amerika Syarikat sendiri akan membenarkan dan bertoleransi dengan agensi perisikan di negara mereka," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen.

Beliau berkata Sepanyol telah mengecam tindakan Duta Amerika, serta Presiden Brazil pula sanggup membatalkan pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sebagai membantah tindakan Amerika Syarikat itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain