suria

Akibat Dendam, Peniaga Emas Ditembak - Polis

KOTA BARU: Dendam akibat pergaduhan lama menjadi punca seorang peniaga emas cedera ditembak oleh individu yang menaiki sebuah motosikal di Kampung Sering di sini, malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata polis telah mengenal pasti suspek dan gerakan mengesannya sedang dilakukan.

Maklumat daripada mangsa, Lokman Zakaria, 49, mendapati dendam akibat perbalahan lama antara mangsa dan suspek sebagai motif kejadian, katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, Rabu.

Dalam kejadian 7.40 malam itu, Lokman cedera ditembak beberapa das oleh suspek ketika sedang memandu kereta dan hampir sampai ke rumahnya di Kampung Sering di sini.

Sementara itu, isteri mangsa, Ramlah Mat Salleh, 44, berkata keadaan suaminya kini stabil dan sudah boleh bercakap walaupun dalam keadaan lemah.

Menurutnya beliau berada di tangga hadapan rumahnya sebelum terdengar bunyi letupan kuat yang pada mulanya disangka mercun.

"Beberapa minit kemudian, jiran saya datang dan memaklumkan mengenai suami saya ditembak," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain