suria

Polis Yakin Suspek Kes Tembak Pegawai Bank Masih Berada Dalam Negara

KUANTAN: Polis setakat ini belum memerlukan bantuan interpol dalam menahan suspek utama kes rompak dan bunuh pegawai Ambank di Selangor Rabu lepas kerana yakin lelaki itu masih berada di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pada masa ini pasukan khas yang ditubuh bagi menjejak lelaki itu bekerjasama dengan kontinjen seluruh negara termasuk mengawasi pintu-pintu sempadan agar tidak dibolosi suspek.

Sambil menyifatkan lelaki itu sebagai penjenayah berbahaya, beliau berkata polis percaya lelaki itu masih mempunyai senjata api pump gun dan boleh bertindak agresif dan membahayakan keselamatan awam.

"Pada masa ini, kami belum memerlukan bantuan Interpol dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat segera tampil membantu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Bakri ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Penyelarasan Sempena Persidangan Agung Pusat Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Pegawai Diwartakan(PPKP/CPW), Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Inspektor (PPKP/CI) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRPD) ke-86.

Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Dalam kejadian di USJ Sentral, Subang Jaya pada pukul 6.20 petang Rabu lepas, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak di kepala dari jarak dekat oleh pengawal keselamatan tempat kerjanya.

Suspek kemudian melarikan wang tunai RM450,000 dari bilik kebal bank berkenaan yang sebelum itu dibuka oleh mangsa untuk menyimpan wang.

Mohd Bakri meminta orang ramai segera menghubungi polis jika mempunyai maklumat berkaitan suspek.

"Pasukan polis amat mengalukan bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat dan saya yakin suspek masih berada di dalam negara. Kami menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk sama ada suspek dibantu oleh pihak lain selepas melakukan jenayah itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran mana-mana individu yang cuba bersubahat membantu penjenayah paling kejam itu akan dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 212 Kanun Keseksaan.-BERNAMA

Artikel Lain