suria

Peniaga Emas Cedera Ditembak

KOTA BAHARU: Seorang peniaga emas cedera ditembak ketika memandu pulang ke rumahnya di Kampung Sering di sini malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata lelaki berusia 49 tahun itu ditembak beberapa das oleh individu yang menaiki motosikal ketika beliau hampir sampai ke rumahnya pada pukul 7.40 malam.

"Ketika itu mangsa memandu dari arah Kota baharu apabila tiba-tiba datang dua individu bermotosikal dan seorang daripadanya melepaskan empat das tembakan.

"Bagaimanapun dua das tembakan telah tersasar dan satu mengenai belakang bahu kanan dan satu lagi mengenai bahu kiri peniaga itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini malam Selasa.

Azham berkata akibat tembakan itu juga telah menyebabkan kereta mangsa terbabas dan merempuh sebatang pokok di bahu jalan manakala dua individu berkenaan melarikan diri.

Mangsa dihantar orang awam ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini. Keadaan beliau dilaporkan stabil. Azham meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi polis. - BERNAMA

Artikel Lain