suria

Miliki Kanabis: Tiga Warga Asing Dipenjara 10 Tahun Dengan 10 Sebatan

SHAH ALAM: Tiga penuntut kolej swasta warga Tanzania dan Nigeria dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku memiliki 1,827 gram kanabis, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah memerintahkan John Vincent John Mmsassy, 25, Okeke Ikechukwu Anayo, 29, dan Richard Chidi, 32, menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap iaitu 19 Mac 2011.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Merak 1, Puchong Jaya pada kira-kira 5 petang dan dihukum mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada asalnya mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Mengikut fakta kes yang dibentang Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, polis memeriksa sebuah kereta Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran PFK 6969 yang dinaiki ketiga-tiga tertuduh dan menemui dua ketul ganja dalam sebuah beg hijau di bahagian penumpang belakang kenderaan itu.

Peguam Wan Idi Amin Ibrahim dan Hasshahari Johari Mawi mewakili Mmsassy manakala Karpal Singh serta Sangeet Kaur mewakili Anayo dan Chidi. - BERNAMA

Artikel Lain