suria

MDCA Berupaya Jana Pendapatan Hingga RM564 Juta - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Gabungan Pusat Data Malaysia (MDCA) berupaya menjana pendapatan antara RM292 juta dan RM564 juta untuk ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata demikian dalam akaun Twitter beliau pada Rabu.

Dua hari lepas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia melancarkan MDCA, iaitu hab data serantau yang pertama di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata MDCA adalah kemudahan penyimpanan data secara berpusat untuk individu dan syarikat di negara ini, dikendalikan oleh swasta.

Sebelum itu, dalam tweet beliau hari ini, Najib mengucapkan syabas kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kerana memenangi dua pingat emas dalam penyertaan sulung di British Invention Show (BIS), di London baru-baru ini.

Tweet itu turut mempunyai pautan pada artikel yang disiarkan Bernama bertajuk, 'USIM Menang Dua Pingat Emas Di British Invention Show'.

USIM mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi dua pingat emas iaitu 'Best Invention Award of The Year' dan 'British Invention of The Year' bagi produk perisa tambahan makanan daripada rebung. - BERNAMA

Artikel Lain