suria

Manifesto PR Tidak Berpijak Di Bumi Nyata - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan manifesto Pakatan Rakyat (PR) untuk mengurangkan satu juta pekerja asing sebagai 'tidak berpijak di bumi yang nyata' kerana hanya 15 peratus janji daripada manifesto 2008 telah dilaksanakan hingga kini.

“Manifesto itu baik tetapi 'seperti mencecah langit, tidak berpijak di bumi yang nyata', hanya 15 peratus manifesto yang dilontarkan pada 2008 dilaksanakan. Dalam erti kata lain, ini manifesto ‘rubbish’.

“Janganlah hendak buat janji baharu, buatlah manifesto yang konkrit dahulu, berdasarkan realiti,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, (BN-Mersing) mengenai cadangan manifesto pilihan raya PR untuk mengurangkan satu juta pekerja asing bagi mewujudkan sejuta peluang pekerjaan untuk rakyat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata lebih 85 peratus janji dalam manifesto pilihan raya PR tidak pernah dilaksanakan hingga kini.

"85 peratus manifesto mereka tidak dapat dilaksanakan. Sebab itu saya kata mereka berjanji tidak berpijak di bumi yang nyata," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri telah mengeluarkan kad pengenalan biometrik dengan menandakan mengikut lima sektor pekerjaan yang dipersetujui oleh kerajaan.

“Kerajaan juga mengenakan levi berdasarkan sektor dan jika pekerja asing ini bertukar sektor pekerjaan, dendanya AS$10,000. Justeru, kita berharap ia akan dapat dipatuhi oleh majikan.

“Saya tidak mahu perniagaan hamba abdi seolah-olah berlaku di negara kita,” katanya.

Mengenai jumlah pekerja asing di negara ini, Ahmad Zahid berkata terdapat 2.11 juta pekerja asing dengan Indonesia mencatatkan jumlah pekerja asing paling ramai dengan 935,000 orang diikuti, Nepal 359,000 orang, Bangladesh 319,000 orang, Myanmar 174,000 orang dan India 117,000 orang.

“Semua permohonan pekerja asing perlu ada ‘sijil job clearing system’ daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Majikan wajib memohon kepada JTK untuk mendapat sokongan, sekiranya siling atau had pengambilan masih belum dicapai ia akan dibenarkan dan begitulah jika sebaliknya," katanya.

Menurutnya, agensi kawal selia berdasarkan sektor masing-masing berdasarkan unjuran keperluan lima sektor, iaitu perladangan, pembinaan, perkhidmatan, pembantu rumah dan perkilangan yang ditetapkan.

“Setiap sektor mempunyai kuota yang ditetapkan ini bagi mengelakkan lambakan pekerja asing di negara ini dan hanya pekerja asing yang berumur 18-45 tahun sahaja yang dibenarkan bekerja di Malaysia.

“Di bawah umur atau melebihi had umur adalah tidak dibenarkan. Tempoh maksimum bagi mereka untuk bekerja di negara ini adalah selama 10 tahun sahaja,” katanya.

Artikel Lain