suria

Kelantan Umum Cuti Peristiwa 4 November Sempena Final Piala Malaysia

KOTA BARU: Kerajaan Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada 4 November sempena perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Kelantan dan Pahang, di Stadium Shah Alam, pada Ahad.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Dr Zainuddin Ibrahim berkata pekeliling mengenai cuti berkenaan akan dikeluarkan, Khamis.

"Cuti peristiwa ini diputuskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada Rabu.

"Ia sebagai memberikan kemudahan kepada rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat bola sepak untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Shah Alam, Selangor," katanya, Rabu.

Dr Zainuddin berkata ia juga sebagai memberikan kemudahan kepada penjawat awam untuk merancang aktiviti bersama keluarga sempena cuti yang agak panjang, bermula Jumaat.

"Kepada peminat-peminat TRW (The Red Warriors), diharapkan dapat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan kesayangan rakyat Kelantan ini. Jagalah adab-adab kesukanan dan jangan tinggalkan solat," katanya.

Perlawanan akhir itu akan diadakan di Stadium Shah Alam pada pukul 8.45 malam. - BERNAMA

Artikel Lain