suria

CAP Gesa Kerajaan Negeri Jadikan Little India Zon Bebas Kenderaan

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri menjadikan kawasan Little India di sini yang menjadi tumpuan ramai terutama pada musim perayaan sebagai zon bebas kenderaan bagi mengelak kesesakan.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata menjelang perayaan Deepavali Sabtu ini, bilangan kanopi yang dipasang untuk tujuan perniagaan semakin meningkat, menjadikan kawasan itu sesak dan padat.

"Di sepanjang jalan seperti di Lebuh Pasar, semua parkir telah digunakan untuk pemasangan kanopi di kedua-dua bahagian jalan sehingga kenderaan terpaksa diletak merata-rata termasuk di simpang serta lorong sempit," katanya kepada pemberita, Rabu.

Katanya situasi itu menyebabkan ruang untuk pejalan kaki menjadi semakin sempit dan kenderaan yang bebas keluar masuk tambah memburukkan keadaan.

Antara jalan terbabit ialah Lebuh King, Lebuh Queen, Lebuh Penang dan Lebuh China.

Mohamed Idris turut mencadangkan kenderaan persendirian diparkir di tempat letak kenderaan bertingkat di Lebuh Pantai dan Lebuh Union yang terletak berdekatan dengan Little India. - BERNAMA

Artikel Lain