suria

Anggota Polis Lepaskan Tembakan Terima Surat Tahan Kerja - Paramasivam

IPOH: Polis Perak telah menyerahkan surat tahan kerja kepada anggota polis yang melepaskan tembakan sehingga mencederakan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, di Kampung Belanja Kiri, Parit pada 14 Oktober lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A.Paramasivam berkata anggota tersebut ditahan kerja selepas menerima surat tersebut kira-kira pukul 2.30 petang Selasa.

Mengenai perkembangan kes itu, beliau berkata Timbalan Pendakwa Raya telah mengembalikan semula kertas siasatan dan meminta polis melengkapkan beberapa perkara berkaitan kes itu.

"Kertas siasatan akan diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan sempena sambutan Hari Deepavali di Little India di sini malam Selasa.

Dalam kejadian itu, mangsa Mohd Amar Mohd Azizi cedera terkena tembakan ketika anggota polis berpangkat Sarjan itu sedang mengosongkan pistol automatik jenis P99 Walther, di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.

Kanak-kanak itu, bagaimanapun selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru itu pada 20 Oktober lepas.

Sementara itu, Paramasivam berkata seorang lelaki ditahan kerana menjual mercun dan bunga api tanpa permit di kawasan Little India di sini, semalam.

Katanya, suspek telah dibawa ke balai untuk dirakam percakapannya sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. - BERNAMA

Artikel Lain