suria

Seksyen Profil Pemandu, Kenal Pasti Pemandu Bas Miliki Saman Tertunggak

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)menubuhkan Seksyen Profil Pemandu di bawah Bahagian Penguatkuasa yang membolehkan lesen pemandu kenderaan perdagangan termasuk bas yang mempunyai saman tertunggak dibatalkan atau digantung.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata seksyen itu ditubuhkan untuk menggantikan unit Sistem Merit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang hanya mengendalikan kes-kes penggantungan dan pembatalan di bawah sistem mata dimerit.

"Seksyen Profil Pemandu juga berfungsi untuk menggantung atau membatalkan lesen memandu di bawah sistem mata demerit dan menggantung atau membatalkan lesen pemandu yang disahkan sebagai penangih dadah," katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Aziz berkata demikian semasa menjawab soalan lisan Datuk Seri Liow Tiong Lai (BN-Bentong) yang merujuk kepada pemandu bas Lim Kok Hoe yang terlibat dalam kemalangan maut di Genting Highlands pada 21 Ogos lalu dibenarkan memandu walaupun mempunyai saman tertunggak.

Berdasarkan rekod, Lim mempunyai 16 saman yang belum selesai iaitu 15 saman berkaitan memandu melebihi had laju dan satu adalah untuk kesalahan menghalang lalu lintas. Menjelaskan perkara itu, Aziz berkata: "Pendakwaan untuk saman-saman pemandu itu masih belum dilaksanakan di peringkat mahkamah, maka JPJ tidak dapat menyenaraihitamkan lesen pemandu bas itu. " Menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) sama ada kerajaan akan menetapkan had usia bas yang beroperasi di kawasan tanah tinggi, Aziz berkata perkara itu terdapat pada pekeliling Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dikeluarkan pada 9 Oktober lalu.

"SPAD juga telah mengkaji semula aspek pengoperasian dan pengeluaran permit dengan mengambil kira laluan lokasi dan reka bentuk jalan. Pekeliling itu dibuat mengikut piawaian standard keselamatan antarabangsa," katanya.

Antara aspek yang dititikberatkan adalah pemasangan tali pinggang keledar di semua tempat duduk, mewajibkan pemasangan Sistem Penentu Kedudukan Sejagat (GPS) dan pemandu diwajibkan menerima latihan dari semasa ke semasa.

Artikel Lain