suria

Malaysia-Indonesia Bentuk Badan Khas Pertingkat Pertukaran Maklumat Dan Informasi Perisikan

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia pada Isnin meningkatkan usaha pertukaran maklumat dan informasi perisikan melalui pembentukan sebuah badan khas.

Ini antara perkara yang dibincangkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein semasa menerima kunjungan hormat Kepala Staf Angkatan Darat (KASAD) Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jeneral Budiman di pejabatnya, di Kementerian Pertahanan di sini.

Ini merupakan kunjungan hormat pertama Budiman di kementerian itu selepas dilantik sebagai KASAD TNI pada 30 Ogos lepas.

Dalam perjumpaan dua jam itu, mereka turut membincangkan usaha berhubung mempertingkat kawalan keselamatan dan operasi bersama di antara kedua buah negara menerusi Pos Gabungan Malaysia dan Indonesia dalam Op Balasah dan Pos Gabungan Seliku atau Simanggaris di Sabah serta Op Krisparang di Sarawak.

Pembentukan badan khas yang ditubuhkan dijangka akan memainkan peranan dalam memantau operasi berkenaan.

Kerjasama antara Tentera Darat Malaysia dan TNI Angkatan Darat juga akan diperluaskan melalui pelbagai aktiviti seperti lawatan timbal balas, program pertukaran anak angkat dan rancangan menambah Pos Gabungan di wilayah timur perbatasan darat kedua buah negara.

Budiman turut mengadakan perjumpaan dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sebelum itu, beliau tiba di perkarangan kementerian dan disambut dengan Perbarisan Hormat Diraja oleh 100 anggota Rejimen Askar Melayu Diraja dan dipersembahkan dengan tarian perang oleh 250 anggota Briged Ke-10 Para.

Beliau turut menerima pemakaian Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat yang menjadi lambang kebanggaan Briged Ke-10 Para oleh Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Jalaluddin Md Yusof dan disaksikan Mohamed Affandi.

Budiman yang dilahirkan pada 25 September 1956 di Jakarta pernah menyandang beberapa jawatan antaranya Panglima Komander Daerah Militer IV (Kodam IV)Diponegoro, Komandan Kodilat (Pembinaan Doktrin, Pendidikan dan Latihan) Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat dan wakil Kepala Staf Tentera Nasional Angkatan Darat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain