suria

Guna Polis Bantuan Banteras Kegiatan Ceroboh Tanah - Zahid

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands mendapatkan khidmat Polis Bantuan bagi membantu membanteras kegiatan pencerobohan tanah di kawasan itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu lebih sesuai berbanding kelulusan pembekalan senjata api kepada penguatkuasa pihak berkuasa tempatan berkenaan.

"Di bawah Akta Senjata Api dan Peraturan Pelesenan, pemberian lesen tidak boleh diberi kepada mana-mana jabatan kerajaan tetapi kalau mereka mahu dapatkan kerjasama daripada KDN khususnya di bahagian keselamatan dan ketenteraman awam, kita boleh selesaikan dengan memberi beberapa jalan termasuk menubuhkan pasukan polis bantuan.

"Dengan adanya polis bantuan sekali gus kita boleh membekalkan senjata api... jika dibandingkan dengan pemilikan secara individu yang risikonya lebih tinggi," katanya pada sidang media selepas menutup Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar tempatan pada Isnin bahawa Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands mahu penguatkuasanya dibekal senjata api untuk membanteras kegiatan pencerobohan tanah secara haram.

Kegiatan pencerobohan tanah secara haram di kawasan itu, antara lain, boleh menjejaskan keselamatan penghuninya ekoran kediaman didirikan di kawasan yang tidak sesuai serta menyumbang kepada masalah pemendapan sungai.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata sehingga 1.30 petang Isnin, pihaknya belum menerima rayuan pembatalan lesen oleh syarikat kawalan keselamatan yang pengawal keselamatannya terlibat dalam kejadian menembak mati pegawai operasi Ambank di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya pada 23 Oktober lepas.

Hari ini (Isnin) merupakan hari terakhir syarikat itu, yang beroperasi sejak 1986, untuk berbuat demikian atau lesen dibatalkan serta-merta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain