suria

Bezakan Janji Kerajaan dan Pembangkang - Mukhriz

YAN: Rakyat diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan janji PAS ketika kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kerana kemenangan calon pembangkang tidak akan membawa kebaikan kepada pembangunan setempat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, rakyat perlu memahami konsep bahawa janji daripada calon yang mewakili parti kerajaan lebih mudah untuk dilaksanakan.

"Dalam pilihan raya kedua-dua pihak akan buat pelbagai janji. Tetapi janji pembangkang tidak sama dengan janji kerajaan. Janji pembangkang adalah sekadar janji kerana sudah tentu mereka tidak dapat melaksanakan janji itu.

"Sebaliknya janji wakil rakyat daripada parti kerajaan akan mendapat perhatian Menteri Besar iaitu saya sendiri untuk memastikan janji-janji itu ditunaikan sebaik yang mungkin," katanya pada Ahad.

Selain itu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah itu berkata, pengundi perlu memberi kepercayaan kepadanya untuk membangunkan DUN Sungai Limau sekiranya calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim menang pada 4 November depan.

"Apabila pengundi melihat Dr Ahmad Sohaimi...lihat juga saya (sebagai Menteri Besar). Saya tetap akan berada di belakang Dr Ahmad sekiranya ditentukan Allah dan diberi sokongan oleh pengundi agar beliau menjadi Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Sungai Limau nanti," katanya.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan Ahmad Sohaimi berhadapan saingan satu lawan satu dengan calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Azizan memegang kerusi itu selama lima penggal sejak 1995.

Beliau mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas dengan memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya daripada BN, Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain